Datin Seri Rosmah Mansor di siasat

Tuesday, June 24, 2008



KUALA LUMPUR: Polis telah mendapatkan keterangan daripada Datin Seri Rosmah Mansor dua hari lepas setelah namanya disebut dalam akuan berkanun penulis blog Raja Petra Kamarudin berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Bakri Zinin memberitahu Bernama hari ini bahawa satu pasukan khas polis mengambil keterangan daripada isteri Timbalan Perdana Menteri itu di rumahnya pada Isnin.

"Beliau telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pegawaipegawai penyiasat dan kami akan jalankan siasatan yang adil.

"Kami juga mendapatkan kenyataan daripada dua orang lagi yang disebut dalam akuan berkanun Raja Petra itu. Sekarang ini biarlah polis meneruskan siasatan," katanya.

Bakri berkata polis perlu menyisat kes itu daripada pelbagai sudut kerana dakwaan yang dibuat itu adalah serius.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada keterangan akan diambil daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang namanya turut disebut dalam akuan berkanun itu.

Dalam satu sidang akhbar hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan sebarang pembabitan Rosmah dalam kes itu. BERNAMA