JAKIM politikkan isu fitnah Anwar dalam khutbah

Friday, July 11, 2008


Khutbah Jumaat tengahari tadi khabarnya telah membincangkan isu fitnah dan liwat yang sedang hangat melanda negara kita sekarang.

Khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertarikh 11 Julai itu bertajuk "Budaya memfitnah mengundang bala bencana" telah mengundang berbagai reaksi dari umat Islam.

Beberapa SMS dan panggilan diterima melahirkan kebimbangan dan rata-rata tidak senang isi khutbah pada hari ini seolah-olah memihak kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato Seri Anwar Ibrahim yang sedang menghadapi dakwaan isu liwat oleh bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Antara yang melahirkan kebimbangan ini adalah seorang ahli akademik yang mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zahid Hamidi memantau perkembangan terbaru ini.

"Saya sangsi tujuan JAKIM mengeluarkan isi khutbah yang berbunyi begitu. Sedangkan sebelum ini, kita ada dengar 'orang Anwar' ada dalam JAKIM. Katanya lagi, dakwaan liwat itu baru saja di failkan di Mahkamah Syariah di bawah undang-undang 'qazaf' kelmarin," katanya.

Kes dakwaan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim difailkan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengikut undang-undang peruntukan 'qazaf' dibawah Seksyen 41 ‘Qazaf’ Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah 1997 oleh peguamnya Kamar Ainiah Kamaruzzaman.

'Qazaf' ialah tuduhan palsu terhadap zina dan jika sabit boleh dihukum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 dan ianya merupakan kesalahan dalam hukum hudud di mana seorang penuduh yang terbukti bersalah boleh dikenakan 80 kali sebatan.

Seksyen 41 ‘Qazaf’ secara spesifik menyentuh persoalan tuduhan zina, dan menurut hukum syarak, Saiful mungkin menghadapi penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit, atau kedua-duanya, sekiranya gagal mengemukakan empat orang saksi lelaki atau iqrar tertuduh.

"Belum tahu lagi biji butirnya, kesahihan kedua-dua pihak tetapi di dalam khutbah Jumaat sudah menceritakan hukum 'qazaf'. Kenapa tidak dibincangkan isu bermubahalah yang pernah dibuat Nabi SAW dulu. Adakah kerana JAKIM tidak setuju maka isu itu tidak diberi tumpuan?," katanya lagi.

Antara petikan khutbah yang dilihat 'pro Anwar' itu dakwanya lagi, apabila isinya menjurus menyentuh hukum qazaf dan hukuman tegas untuk orang yang terlibat dalam aktiviti memfitnah dalam Islam.

Petikan khutbah Jummat hari ini antara lain menyebut, "Dalam fitnah kes liwat atau zina misalnya, Islam memperuntukkan hukum qazaf iaitu dikenakan 80 kali sebatan dikhalayak ramai. Hukum qazaf dikenakan jika penuduh-penuduh perbuatan keji itu gagal mengemukakan empat orang saksi yang adil iaitu tidak fasik. Pada prinsipnya hukuman di dalam Islam adalah untuk menegakkan keadilan, mendidik manusia dan bukan menghukum dengan sewenang-wenangnya."

Sebelum ini Ketua Pengarah JAKIM Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz pernah mengeluarkan kenyataan "membenarkan bermubahalah dan tidak diperbesarkan dakwaan isu liwat Anwar ini kerana dikhuatiri bakal membuka ruang kepada pihak lain untuk campur tangan, sekali gus akan menimbulkan kesulitan kepada negara dan masyarakat.”

Khutbah Jumaat pada hari ini ditutup dengan peringatan agar tidak memfitnah, tambahan "jika mangsa fitnah itu adalah orang yang beriman dan bukan kaki maksiat dan jangan begitu mudah memfitnah orang lain sekiranya kita tidak mahu dilaknat oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat kelak."

Oleh ZIEMAN

-