Setelah hampir 50 tahun, Jins Shamsudin...

Thursday, July 24, 2008

Datuk Jins Shamsuddin tidak pernah berubah.Dari dulu sampai sekarang stailnya memang begitu...terus maintain .Orang yang tidak biasa boleh terperanjat dibuatnya.

Beliau ibarat kata orang…kalau kata A itu A dan kalau B itu B.Sebab itu ada orang yang tidak menyelami perangai dan caranya bawa mulut kata seniman terkenal ini agak lorat,tak mau dengar cakap orang lain dan lebih dari itu…sombong.

Wartawan Agendadaily sendiri tersentak ketika mula menyapanya di bawah pejabatnya di Hulu Kelang. “Nak buat apa kamera ni?” beliau bertanya ketika kami baru melangkah keluar dari kereta.

Bila diberitahu tujuannya untuk ambil gambar semasa interbiu,Jins berkata semasa temujanji dibuat kata nak interbiu saja tak sebut nak ambil gambar sekali.

“Jadi interbiu saja…tak boleh ambil gambar,”katanya sambil memberitahu beliau tidak berpakaian kemas kerana ketika itu hari Ahad.

Suaranya tegas membuat kami hampir putus asa.

Setelah beberapa ketika berbual kemudiannya beliau tiba-tiba beralih kepada anaknya Putera Hang Jebat yang kebetulan turut berada di situ.

“Pergi balik ambil bush jaket ayah,”katanya.Rumah Jins terletak tidak jauh dari pejabatnya di tepi Lebuhraya MRR2.

Selepas itu semasa berbual di dalam ruangan pejabatnya pula Jins menjelaskan beliau sebenarnya jarang sekali memberi interbiu kepada wartawan.

Katanya pernah dua orang bekas wartawan hiburan kanan akhbar arus perdana hampir menangis kerana beliau menolak permintaan mereka untuk mengadakan interbiu.

“Saya tak suka publisiti yang murahan….seperti hal-hal peribadi,pergi holiday atau beli rumah baru pun nak masuk suratkhabar.

Beliau menilai over publicity mengenai hal-hal remeh seperti itu adalah antara faktor yang menjejaskan imej seorang seniman.

“Saya tak kisah kalau interbiu berkisar tentang perkara-perkara yang berfaedah.Maksud saya apa yang saya cakap memberi faedah atau menambah pengetahuan kepada orang yang membaca,”katanya yang mula melibatkan diri sebagai pelakon pada tahun 1956.

Katanya bukan sekarang saja sifatnya begitu malah semasa jadi pelakon di Shaw Malay Filem Production di Jalan Ampas ,Singapura beliau jarang beri interbiu.

Dicelah-celah seriusnya itu Jins sering juga berjenaka misalnya ketika memberitahu beliau amat tidak gemar guna telefon bimbit.

Ketika dilantik sebagai Senator baru-baru ini saja beliau pertama kali guna telefon bimbit. “ Ini pun terpaksa,”katanya.

Semasa beberapa panggilan masuk Jins mengunakan speakerphone .Perbualannya dengan pemanggil dapat didengar dengan jelas. “Tak bagus letak telefon bimbit pada telinga…boleh rosak telinga kalau selalu,”katanya.

Berbanding dengan orang lain,Jins ada menerbitkan biograpfi hidupnya bertajuk “ Suria Kencana ” pada tahun 1998.

Beliau sedang mengusahakan penerbitan sebuah lagi biografi.Ia sudah siap hanya tunggu untuk dibukukan saja.

“Biografi seseorang biasanya ditulis selepas dia meninggal dunia sebab itu kerapkali banyak fakta yang salah…kalau salah dengan siapa kita nak check .

“Contohnya banyak fakta dalam biografi Allahyarham P Ramlee salah.Allahyarham sudah tiada…bagaimana ia hendak diperbetulkan,”katanya.

Sepanjang kira-kira tiga jam bersamanya Jins banyak bercerita tentang liku-liku penglibatannya dalam layar perak,perjuangannya untuk mengangkat martabat industri itu hinggalah mengenai perlantikannya sebagai seorang Senator.

Sebenarnya semasa timbul khabar angin mengenai perlantikan beliau sebagai senator dulu ada kedengaran suara-suara yang bertanya apa istimewa dan sumbangan Jins hingga beliau nak dilantik ke jawatan itu.

Kata mereka setakat status ‘orang lama’ dalam industri ini tidak cukup melayakannya.

Ada yang bimbang beliau tidak dapat menjadi tali penghubung yang berkesan antara industri ini dengan pihak kerajaan kerana zaman sudah berubah.

Kami tidak mengemukakan soalan itu kepada Jins kerana dari apa yang diceritakan semasa berbual banyak memberi jawapan kepada persoalan itu.

Selain aktif menjadi penceramah di majlis politik dan sebagainya kebelakangan ini,antara tiga yang memberi impak besar hingga ke hari ini ialah beliau menjadi peneraju utama bagi pembelian tanah Studio Merdeka di Hulu Kelang (sebelah Zoo Negara) dari Shaw Brothers dimana terletaknya komplek FINAS sekarang.



Beliau berulangalik ke Singapura bersama bekas Ketua Pengarah FINAS Datuk Ismail Zain untuk merundingkan pembelian tanah itu.

Jins,69 yang dilahirkan di Taiping,Perak juga menjadi peneraju hingga terbentuknya FINAS.

Begitu juga dalam soal drama swasta yang saban hari ditayang di televisyen sekarang.

Beliau yang membawa hal ini kepada kerajaan hingga sekarang ramai produser yang boleh cari makan buat drama swasta.

“Walaupun saya perjuangkan drama swasta…saya sendiri sampai ke hari ini tidak pernah menerbitkan satupun drama swasta,”katanya.

Impiannya sekarang ialah untuk menjadikan apa yang diperjuangkanya selama ini iaitu Dasar Perfileman Nasional satu kenyataan.

Jins gembira kerana Menteri Kebudayaan,Kesenian dan Warisan,Datuk Seri Rais Yatim mendokong usaha itu. “InsyaAllah ia akan jadi satu kenyataan,”katanya.

“Dasar itu perlu ada…semua benda ada dasar penentunya yang tersendiri…tetapi sehingga ke hari ini satu dasar khusus untuk filem tidak ada,”katanya lagi.

Jins mengakui beliau agak terkilan apabila media hanya highlight mengenai cadangannya agar ditiadakan ruangan gosip di akhbar semasa ucapan sulongnya di Dewan Negara Disember lalu.

Katanya beliau tidak meminta kerajaan mengharamkan ruangan itu tetapi hanya mencadangkan agar ia dikurangkan atau ditiadakan kerana ia lebih mendatangkan mudarat dari faedah kepada industri.

“Perkara mengenai gosip itu saya sentuh secara ringkas saja…itupun dihujung ucapan sedangkan banyak hal-hal penting lain yang saya nyatakan dalam ucapan itu,”katanya.

Sebagai Senator pertama yang mewakili orang seni,Jins berkata beliau tetap seperti dirinya iaitu bersuara pada apa jua perkara yang patut diketengahkan tanpa ragu dan gentar bila ke parlimen.