Hanafi: AKIM yakin tawan Permatang Pauh

Wednesday, August 13, 2008

Angkatan Keadilan Insan Malaysia, (AKIM) melahirkan keyakinan memenangi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Presidennya, Hanafi Mamat berkata, parti yang dipimpinannya itu akan memperoleh sokongan yang padu terutamanya daripada ahli-ahli PAS kerana teras perjuangan mereka adalah mahu menegakkan Islam dan memerlihara hak orang Melayu.

“Kami yakin akan memperoleh sokongan yang padu daripada pengudi di sana berdasarkan matlamat perjuangan AKIM,” katanya kepada mStar Online hari ini.

AKIM yang itubuhkan pada 1995 merupakan sebuah parti serpihan PAS.

Ahli-ahli yang keluar daripada Pas menubuhnkannya atas alasan tidak percaya kepada perjuangan parti itu.

Difahamkan parti itu mempunyai kira-kira 10,000 ahli di seluruh negara.

Parti tersebut pernah bertanding pada pilihan raya umum 1999 di kerusi Parlimen Pasir Puteh dan Kota Bharu, tetapi tewas.

Jelas Hanafi, PAS hari ini telah banyak melakukan perubahan dan ini merupakan peluang menjelaskan kepada semua termasuk ahli-ahli PAS mengenai perjuangan AKIM.

“Dengan keadaan politik yang kurang stabil sekarang AKIM punya ruang untuk menang,” katanya.

Ketika ditanya siapakah calon yang akan diletakkan oleh Akim di Permatang Pauh, Hanafi berkata:

“Calonnya akan diumumkan pada 15 Ogos. Yang boleh saya jelaskan calon tersebut merupakan anak tempatan dan punya latar belakang agama yang bagus,” ujarnya.

Menurut beliau, sudah tiba masanya orang ramai membuka mata dan memberi sokongan kepada calon yang memperjuangkan Islam dan nasib orang Melayu bukan lagi memilih calon yang punya agenda tersendiri.

Tambahnya, jentera pilihan raya parti itu sudah bergerak biarpun mereka berdepan tugas getir untuk menghadapi calon Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Barisan Nasional.

Oleh NURUL AIN HUSSAIN