Hj.Hadi berkata beliau sendiri tarik diri baca khutbah

Friday, August 15, 2008


IPOH: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menafikan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, tidak memberi perkenan kepadanya dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyampaikan khutbah Jumaat di dua masjid di negeri ini hair ini.

Sebaliknya, Abdul Hadi menjelaskan beliau sendiri yang membuat keputusan untuk tidak meneruskan rancangan itu dan memaklumkannya kepada Raja Nazrin kerana berasa ada tekanan daripada pihak tertentu.

"Saya dijemput dan bukan meminta (memberi khutbah Jumaat) dan saya menjunjung kasih kepada Tuanku kerana memberi penghormatan kepada saya bersama Nik Aziz.
"Tapi kerana ada gangguan daripada pihak tertentu, saya buat keputusan jumpa Tuanku untuk menarik diri kerana kita tidak mahu mengheret istana dalam perkara politik," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar Muktamar Tahunan Pas ke-54 di Stadium Indera Mulia di sini.

Hari ini, akhbar menyiarkan laporan Bernama yang memetik kenyataan Datuk Pengelola Bijaya DiRaja Datuk Seri Raja Mansor Raja Razman, bahawa rancangan kedua-dua pemimpin itu untuk menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Negeri dan Masjid Sultan Azlan Shah tidak diberi perkenan Raja Muda Perak.

Perkara itu disampaikan kepada Abdul Hadi ketika beliau menghadap baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam, kata Raja Mansor dalam satu kenyataan kepada agensi berita berkenaan.
Titah itu adalah selaras dengan pendirian bahawa masjid dan surau di Perak haruslah bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian. -
Oleh ulitmayang