'Liwat', 'Rosma' dalam teater politik Faisal

Monday, August 25, 2008




Bukan hanya di tengah kehangatan kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh kedengaran perkataan “liwat” dan “konspirasi”, satu persembahan teater satira politik buah tangan sasterawan kritis Faisal Tehrani juga berdengung dengan ungkapan seumpamanya.

Persembahan di Universiti Malaya mulai malam ini berselang-seli dengan dialog menyindir peristiwa politik semasa seperti "correct, correct, correct", "anak ikan umur 23 tahun" dan "Rosma".

Bagaimanapun teater yang dipentaskan selama lima malam itu bukanlah tentang penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim atau lawan politiknya Datuk Seri Najib Razak.

Persembahan Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun di auditorium Akademi Pengajian Islam itu sebaliknya menceritakan pergolakan politik era kegemilangan kesultanan Melayu di Melaka.

Pratonton persembahan itu selama 90 minit untuk wartawan diadakan Sabtu lalu di tempat yang sama. -oleh Jimadie Shah Osman