Abdullah hadapi risiko tidak peroleh kuota yang cukup

Sunday, September 28, 2008



Sekelompok orang Abdullah mungkin akan mendesak Abdullah untuk bertahan, mengambil risiko dan tidak bersara.

Kelompok ini dikatakan rela menabur wang berjuta-juta ringgit nilainya semata-mata untuk mempertahankan kedudukan Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Dalam konteks ini, seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO memberitahu blog ini, mainan politik wang ini tidak mungkin berlaku.

Ini kerana kini sudah wujud sebuah badan pemantau bebas yang bergerak secara rahsia untuk menggagalkan kemungkinan berkenaan.

Katanya, pelbagai projek di beberapa koridor pembangunan yang ditawarkan oleh sesetengah pihak kepada segolongan ketua-ketua bahagian sebelum ini pun sudah tidak lagi diyakini oleh pihak terbabit bila ekonomi dunia mula meredum dan Kementerian Kewangan pula diserahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi pula menyatakan kepada blog ini bahawa nasihat yang disampaikan kepada Abdullah pada 18 September 2008 adalah satu ledakan gelombang perubahan yang serius. Gelombang ini akan meledak jadi tsunami siasah jika Abdullah mengengkari nasihat berkenaan.

Maka, katanya, terserahlah kepada Abdullah untuk mengartikulasikan nasihat Majlis Tertinggi.

Jika Abdullah mahu mengambil risiko, Abdullah dijangka terkapai-kapai seorang diri dan akhirnya menjadi mangsa kepada tsunami siasah yang meledak daripada peringkat bahagian.

Ahli Majlis Tertinggi ini mengesahkan posting oleh beberapa bloggers tempatan yang mengatakan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 18 September 2008 adalah hangat dan decisive.

Beliau juga mengakui bahawa sebilangan besar anggota kanan Majlis Tertinggi UMNO rata-rata menasihati Abdullah bersara secara terhormat dan dengan segera.

Sebab itulah agaknya Abdullah dipetik oleh Bernama 18 September 2008, sebagai berkata bahawa “sebarang keputusan berkaitan kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan juga peralihan kuasa akan dibuat oleh beliau sendiri.”

Abdullah juga dipetik sebagai berkata bahawa “sebarang perubahan kepada pelan peralihan kuasa itu akan beliau bincangkan dengan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.”

Mengenai peralihan kuasa, Abdullah juga berkata: “Saya tidak beri penjelasan semula.

Saya hanya kata yang saya sedar, saya sentiasa mendengar, saya sedang memberi perhatian kepada apa yang berlaku mengenai situasi sekarang ini dalam parti.

Apa-apa juga keputusan yang akan saya buat mengenai perkara ini akan saya bincang dulu dengan Datuk Seri Najib, kemudian keputusan itu akan dibawa untuk makluman Majlis Tertinggi.”

Moga-moga Abdullah yang kini “sedar, sentiasa mendengar dan sedang memberi perhatian kepada apa yang berlaku mengenai situasi sekarang ini dalam parti” seperti ditegaskan di atas akan menghormati nasihat Majlis Tertinggi UMNO yang mewakili aspirasi majoriti warga UMNO akar umbi di seluruh negara mutakhir ini.

Mudah-mudahan di hari baik bulan baik ini Abdullah sanggup berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan tanahair dengan mengumumkan persaraannya daripada siasah dan kerajaan sebelum 10 Oktober 2008. KEPADA ALLAH BERSERAH!

- Datuk Ruhanie Ahmad