Ambil tindakan terhadap Saluran AEC-301 Astro

Thursday, October 23, 2008





Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi digesa mengambil tindakan tegas terhadap Saluran AEC-301 Astro yang menyiarkan terlalu banyak laporan yang memburuk-burukkan imej kerajaan dan negara.

Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) menegaskan, saluran televisyen berbayar itu bukan sahaja menyiarkan hal-hal negatif mengenai negara tetapi juga perkara lucah.

“Dua minggu lalu saluran ini menyiarkan pelbagai berita negatif mengenai MCA yang sedang mengadakan pemilihan pucuk kepimpinan di mana ia menyiarkan berita bahawa UMNO dulu memakai kondom, (tetapi) sekarang kondom itu telah bocor maka MCA tidak boleh bergantung pada parti itu lagi.

“Saluran (televisyen) itu memberitahu, MCA kini telah makan Viagra untuk menjadi keras semula. Apa jenis siaran yang dikeluarkan oleh AEC-301 ini?

“Ia amat negatif tetapi kementerian tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Astro,” kata beliau ketika membahaskan Bajet 2009 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

King Sing memberitahu, saluran itu juga menyiarkan berita negatif dalam rancangan Living In Malaysia yang menggambarkan bahawa kehidupan di negara ini susah dan ia telah mencemarkan imej Malaysia di mata dunia.

Katanya, rancangan itu menyiarkan kisah kehidupan seorang pengedar surat khabar yang memperlihatkan kehidupannya yang terpaksa bangun pukul tiga pagi untuk mengedar akhbar.

- um22