Peniaga Tawar Diri Bertanding PRK K/Terengganu

Monday, December 15, 2008

Image Hosted by UploadHouse.com

Peniaga getah sekerap, Isma Airfath Hassanuddin pada hari Ahad menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan depan.

Isma, 38, yang berasal dari Kampung Kok Pauh, Rantau Panjang, Kelantan mengisytiharkan untuk bertanding pilihan raya kecil itu, pada satu sidang media di Batu Burok, petang ini.

"Hobi saya (bertanding pilihan raya). Malah, saya terpanggil untuk bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil ini kerana merasakan amalan demokrasi masih wujud di negara ini.

"Jangan terperanjat jika saya menang pada pilihan raya kecil tersebut, nanti," katanya yang telah mengambil borang penamaan calon di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu, pagi ini.

Isma yang juga merupakan peniaga makanan dan pakaian, berkata sebagai ahli persatuan skuter (Vespa), beliau memperoleh sokongan padu daripada rakannya di bandar Kuala Terengganu untuk bertanding pada pilihan raya itu.

"Mereka berjanji untuk berkempen secara agresif bagi memastikan saya menang pada pilihan raya kecil tersebut," katanya yang berada di sini sejak semalam bagi meninjau sentimen pengundi di kawasan berkenaan.

Isma turut terkejut apabila persatuan-persatuan kelab bermotor lain di Terengganu bersedia untuk memberi sokongan kepadanya dalam pilihan raya kecil itu.

"Daripada tinjauan awal, saya dapati saingan di sini pastinya sengit. Mungkin lebih daripada pertandingan tiga penjuru... kita tunggu dan lihat," katanya lagi.

Beliau berkata hasratnya bertanding kali ini ialah bagi membersihkan namanya yang dikaitkan menerima tajaan daripada beberapa anggota Umno Rantau Panjang ketika bertanding pada pilihan raya umum lepas.

Pada pilihan raya umum Mac lepas, beliau dan calon Barisan Nasional Mohd Afandi Yusof tewas dalam saingan tiga penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Rantau Panjang yang dimenangi calon PAS Siti Zailah Mohd Yusof.

Isma yang lebih dikenali sebagai "Kosing" di kalangan rakannya, berkata beliau akan terus menggunakan "kepala harimau" sebagai lambangnya pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Bagi menghadapi pilihan raya kecil itu, Isma berkata beliau tidak perlu berceramah atau mendirikan markas, sebaliknya hanya keluar bertemu pengundi.

Bapa kepada lima anak, berusia antara 6 bulan dan 15 tahun itu berkata beliau tidak bimbang hilang wang pertaruhan kerana menganggap ia sebagai "adat" jika inginkan sesuatu.

-- BERNAMA