Rumah Syed Hamid disimbah cat merah

Wednesday, December 24, 2008

Image Hosted by UploadHouse.com

CAT merah (dalam bulatan) yang disimbah ke kediaman Syed Hamid di Kampung Jawa, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI - Penduduk daerah ini gempar apabila rumah kediaman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar di Kampung Jawa di sini semalam disimbah cat merah dipercayai akibat perbuatan khianat.

Tinjauan Kosmo! mendapati cat itu disimbah di lantai sisi dan belakang rumah banglo dua tingkat tersebut dan dipercayai dilakukan pada awal pagi semalam.

Dipercayai cat tersebut dibaling dari luar pagar rumah menteri itu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian yang dipandang serius itu.

"Kita belum mengetahui siapa yang terbabit dan setakat ini kita belum ada identiti suspek-suspek yang disyaki," kata beliau.

Dua hari lepas, dinding bangunan pusat khidmat Syed Hamid yang terletak di Jalan Jaafar dan bangunan pusat khidmat Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique di Jalan Mempelam di sini turut diconteng dengan kata-kata kesat.

Menurut beliau, selain rumah Syed Hamid yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, turut menjadi mangsa simbahan cat semalam ialah rumah setiausaha akhbar menteri itu, Rosleli Jahari yang terletak di Jalan Limau Kupas 1, Taman Kota Jaya di sini.- Kosmo