Dua ADUN Perak dakwa ditawar RM20 juta

Thursday, February 26, 2009

Dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada pakatan pembangkang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa mereka ditawar wang sehingga RM20 juta serta jawatan oleh pihak tertentu supaya menjadi wakil rakyat Bebas atau menyertai Barisan Nasional (BN).

Image Hosted by UploadHouse.com

Mereka yang membuat laporan di pejabat SPRM di sini ialah Adun Malim Nawar Keshvinder Singh daripada DAP dan Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamsari daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Bercakap kepada pemberita di luar pejabat itu, Keshvinder berkata beliau menerima pelbagai tawaran daripada beberapa agen mendakwa mewakili Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan seorang daripada agen itu ialah seorang wartawan akhbar berbahasa Cina tempatan.

Adun Malim Mawar itu berkata antara tawaran yang diterima ialah imbuhan RM20 juta jika beliau keluar daripada DAP dan mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas dan menyokong BN seperti yang dilakukan tiga Adun pakatan pembangkang sebelum ini.

Kerajaan pakatan pembangkang Perak tumbang awal bulan ini selepas BN menguasai majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila mereka mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas dan menyokong BN.

Keshvinder turut mendakwa bahawa tawaran lain yang diterima adalah beliau akan dilantik sebagai Pengerusi MIC Perak sekiranya menyertai parti itu dan dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri.

Tawaran jawatan Anggota Exco adalah yang terbaru dibuat oleh seorang agen sebaik selepas BN mengambil alih kerajaan negeri, katanya.

"Saya minta Datuk Seri Najib tampil membuat kenyataan berhubung perkara ini kerana perbuatan ini jelas menunjukkan kerajaan negara ini terlalu korup dan amat terdesak," katanya.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata selain tawaran wang tunai antara RM3 hingga RM8 juta, beliau turut ditawarkan konsesi kawasan balak sekiranya beliau meninggalkan partinya.

Beliau berkata tawaran berkenaan dibuat oleh beberapa orang agen yang terdiri daripada ahli perniagaan yang mendakwa mewakili kepimpinan kerajaan negeri Perak.

Turut menemani dua Adun berkenaan ke pejabat SPRM adalah tujuh Adun pakatan pembangkang yang lain iaitu Ramli Tusin (Semanggol); A. Sivasubramaniam (Buntong); Chan Ming Kai (Simpang Pulai); Chang Lih Kang (Teja); Sum Cheok Leng (Bercham); Leong Mee Meng (Jalong) dan Khalil Idham Lim Abdullah (Titi Serong). BERNAMA