Cabar Pas Buktikan Umno Tidak Perjuang Islam

Thursday, July 9, 2009


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar PAS supaya membuktikan semasa pilihan raya kecil Manik Urai bahawa UMNO tidak memperjuangkan Islam selama parti itu memerintah negara.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata parti itu yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 terlebih dahulu memperjuangkan syiar Islam daripada PAS dengan memperjuangkan kemerdekaan negara yang juga tuntutan fardu kifayah.



Kalau dilihat dalam Perlembagaan UMNO salah satunya adalah untuk menegakkan syiar Islam," katanya ketika berucap kepada penduduk kawasan Manik Urai Lama pada hari ketiga kempen pilihan raya kecil Manik Urai di sini malam ini.

Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyebut mengenai asas dan tujuan penubuhan UMNO yang antara lain, "menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama".

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau terkejut dengan dakwaan PAS yang menuduh parti itu tidak memperjuangkan Islam dalam ceramah politiknya untuk menarik sokongan 12,293 pengundi Manik Urai.

Muhyiddin juga menepis dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) memperkecilkan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan yang mempunyai kelulusan rendah berbanding calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, bekas pegawai Kesedar.

"Nak jadi pemimpin kena ada ilmu," kata Muhyiddin.

Mengenai usaha menjadikan Manik Urai sebagai kawasan "anak angkat", beliau berkata kawasan itu berhak lebih daripada itu untuk menjadi "anak emas" Kerajaan Persekutuan, sekiranya BN menang.

Dengan itu ia akan menerima pembelaan yang sewajarnya daripada BN, namun begitu beliau tidak melengkapi apakah konsep sebenar yang menyatakan Umno memperjuangkan Islam.

Dalam majlis itu, Muhyiddin turut menjawab tuduhan PAS yang menuduh Kesedar tidak melakukan apa-apa keatas kemajuan disini sedangkan kerajaan negeri juga bertanggungjawab untuk membangunkan Manik Urai.

Beliau menyamakan tuduhan itu dengan taktik kerajaan negeri Pulau Pinang yang lepas tangan mengenai masalah penduduk Kampung Buah Pala di negeri itu supaya kerajaan pusat campurtangan.

Penduduk Kampung Buah Pala diminta berpindah berikutan pihak pemaju ingin membangunkan kawasan itu.

-- BERNAMA