Umno Adalah Parti Islam, Kata Najib

Friday, September 11, 2009



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Umno adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat Islam dan negara ini.

Katanya, Umno sememangnya membela dan menaikkan taraf hidup umat Islam dengan membasmi kemiskinan menerusi pelbagai program kerajaan terutamanya menerusi rancangan Felda.

"Dalam Islam, kemiskinan itu menghampiri kekufuran dan Umno sejak 53 tahun yang lepas berusaha membasmi kemiskinan di kalangan umat Islam dengan membuka tanah rancangan Felda dan adakah ini bukan tuntutan Islam?," kata beliau ketika menghadiri majlis Rahmat Ramadan di Felda Teloi Timur di sini Khamis ini.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno membangunkan negara ini bagi melahirkan umat Islam yang dihormati dan bermaruah dengan pembangunan negara, teknologi dan ketenteraan yang termaju.

"Kita tidak perlu label "membangun bersama Islam" kerana kita telah lama memperjuangkan Islam dan telah memberi keselesaan hidup kepada umat Islam kerana kita tidak mahu umat Islam miskin dan tidak ada kekuatan," kata beliau.

Perdana Menteri juga berkata, Islam juga menuntut perubahan umatnya daripada yang baik kepada lebih baik dan itulah yang dilakukan oleh Umno.

"Kita sentiasa membela nasib rakyat daripada yang baik kepada lebih baik, jika dahulu kita bermula dari Lurah Bilut (Felda Lurah Bilut) daripada golongan yang tidak mempunyai tanah kepada golongan yang mempunyai tanah sebanyak 10 ekar,"

"Secara kebetulan ayah saya (Tun Abdul Razak) yang menubuhkan Felda, dia berjalan dengan tongkat dan bush jaket beratus-ratus batu semata-mata untuk memberi tanah dan membasmi kemiskinan rakyat," kata beliau.

Najib juga berkata, umat Islam haruslah mengambil iktibar dengan pelbagai peritiwa kemenangan Islam dalam bulan Ramadan termasuklah peristiwa perang Badar.

"Bulan Ramadan membentuk peribadi dan kekuatan untuk kejayaan Islam dan tidak ada sebab kita tidak boleh berjaya jika kita berusaha," kata beliau.

Pada majlis itu, Najib bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan para pemimpin Umno negeri berbuka puasa bersama kira-kira 5,000 peneroka Felda dari Kedah dan Perlis.

Perdana Menteri kemudiannya menyampaikan duit raya dan bantuan khas kepada peneroka Felda berkenaan.

- BERNAMA

Ulasan: Najib sebenarnya sebut tak habis ayat itu, tergantung. Sebutlah 'Umno Adalah Parti Islam Hadhari' barulah lengkap. Kenapa wartawan tak tanya Najib, yg Islam menyuruh bini bini kita tutup aurat, kita parti Islam kan..