Ibrahim Ali mula tidak dipercayai: Ahmad Fadhli

Wednesday, October 21, 2009


Karier politik Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali disifatkan sudah tiba di penghujung apabila beliau sendiri sudah tidak dipercayai oleh sebahagian pimpinan UMNO untuk diterima menjadi ahli parti tersebut.

Pada masa yang sama, Pas yang telah memberikan peluang kepadanya bertanding pada pilihan raya umum yang lalu juga pastinya sudah ‘berkerat rotan’ dengannya yang disifatkan mengkhianati parti yang memberinya laluan.

 

Naib Ketua Dewan Pe-muda Pas Kawasan Pasir Mas (DPPKPM), Ahmad Fadhli Shaari berkata, inilah nasib yang terpaksa ditempuhi oleh Ibrahim apabila sering kali mengubah pendirian politiknya dan pastinya beliau tidak akan dipercayai lagi sama ada oleh Pas atau UMNO.

Suasana seperti ini akan meletakkannya dalam situasi yang tidak selesa khususnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

“Kita percaya, ahli politik seperti Ibrahim tidak akan membawa apa-apa faedah kepada mana-mana parti yang disertainya. Walau bagaimana pun masih ramai lagi tokoh tokoh Umno yang menaruh minat agar beliau menyertai semula,  apatah lagi  untuk menyaingi Pas di negeri Kelantan.

“Namun, jika UMNO masih lagi sudi untuk menerima Ibrahim, kita alu-alukan kerana itu lebih memudahkan Pas di Pasir Mas ekoran kebencian pe-ngundi-pengundi di Pasir Mas terhadap Ibrahim,” ka-tanya.

Ahmad Fadhli berkata demikian semasa mengulas kenyataan Setiausaha Per-gerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Bazlan Baharuddin yang meminta Majlis Tertinggi (MT) parti itu membuat penilaian terperinci sebelum menerima semula kemasukan bekas Ibrahim bagi mengelak ‘pisang berbuat dua kali’.

Bazlan seperti yang dilaporkan semalam turut mengingatkan bahawa apa yang dialami oleh UMNO sebelum ini cukup menyedarkan apabila Ahli Parlimen Pasir Mas itu sanggup menentang calon BN dalam pilihan raya kecil 2005.

Ibrahim kini disifatkan berada di awang-awangan ekoran kedudukannya di-pertikaikan oleh Pas kerana sering memberi reaksi negatif kepada parti itu.

“Pihak DPPKPM melahirkan simpati kepada nasib Ibrahim yang tidak lagi dipercayai oleh sesiapapun. Sekalipun kami tidak mahu campur tangan dalam urusan UMNO, namun dalam masa yang sama kami ingin mengingatkan Ibrahim bahawa beliau mendapat keme-nangan di Pasir Mas di dalam pilihan raya umum yang lalu di atas tiket Pas.

“Maka tindakan yang bermaruah yang boleh dilakukan olehnya sebelum menyertai UMNO ialah dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen,” katanya.  -s/harian20/10