Belum sebat Kartika sebab kerana ada syubahah - exco

Friday, November 13, 2009



Hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno belum dijalankan berikutan timbul syubahah (keraguan) dalam
pelaksanaan hukuman itu.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata pelaksanaan hukuman itu perlu dilakukan secara berhati-hati terutama terhadap pesalah wanita.


"Sejak 52 tahun kemerdekaan negara, tidak ada lagi tukang sebat daripada kalangan wanita," katanya ketika menjawab soalan Syed Mohammed Tuan Lonnik (PAS-Beserah) berhubung kekangan dalam pelaksanaan hukuman terhadap Kartika pada persidangan DUN Pahang hari ini.


Mohamad Sahfri bagaimanapun berkata, hukuman sebat terhadap pesalah lelaki bagi kesalahan sama telah dilaksanakan dengan terbaru seorang rakyat Indonesia disebat enam kali di Penjara Penor di Kuantan semalam.

Beliau berkata Pahang merupakan antara negeri yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara dan sebatan bagi kesalahan meminum arak berbanding negeri lain dan ia perlu dijalankan dengan sebaik mungkin.

Kartika, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai tahun lepas.

Menjawab soalan mengenai hukuman enam sebatan yang dikenakan tidak mengikut syarak, Mohamad Sahfri berkata ia berpandukan undang-undang yang diluluskan DUN Pahang dan bidang kuasa yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Beliau berkata walaupun hukum syarak menetapkan hukuman 40 hingga 80 sebatan bagi kesalahan meminum arak yang merupakan satu daripada kesalahan hudud, Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman hudud.

Ini kerana enakmen yang ada hanya memperuntukkan bagi hukuman takzir dan tiada hukuman had atau qisas walaupun ada di antara jenis kesalahan itu adalah hudud, katanya. BERNAMA