Kolonel Mat yang Nik Aziz kata Itu, Ayah saya...

Monday, November 30, 2009

Bekas Pegawai Perhubungan Korporat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Syed Azidi Syed Abdul Aziz membuat pengakuan bahawa arwah ayahnya, Leftenan Kolonel Syed Abdul Aziz turut dikenali dengan nama 'Kolonel Mat', nama yang disebut Oleh pemimpin PAS sebagai individu yang cuba menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan.

Dalam posting terbaru di laman blognya 'Kickdefella' kelmarin, beliau berkata masyarakat di Kelantan turut memanggil ayahnya dengan gelaran 'Syed Amat'.


"Di kampung, bagi orang yang kurang mesra dengan Syed Amat, mereka panggil dia 'Kolonel Mat'.

"'Kolonel Mat' yang saya kenali ialah arwah ayah saya, "katanya dalam posting terbaru di blognya kelmarin.

Menurut Syed Azidi, pangkat tertinggi arwah ayahnya dalam angkatan tentera ialah sebagai Leftenan Kolonel.

"Walaupun beliau tidak pernah diangkat ke pangkat Kolonel penuh, tetapi menjadi lumrah Leftenan Kolonel dipanggil Kolonel sahaja. Jelasnya, Kolonel Mat ialah anak kepada arwah Abid Razak yang pernah menjadi Dresser di Hospital Besar Kota Bharu.

"Kolonel Mat menyertai tentera sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi. Selepas menerima tauliah perlantikan, Kolonel Mat pulang ke Kelantan mengahwini anak sepupu Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang bernama Tuan Bidah Tuan Long. Waktu itu Nik Aziz dikenali dengan panggilan Ayah Zit oleh saudara mara," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Nik Aziz Khamis lalu, bahawa wujud konspirasi yang didalangi oleh 'Kolonel Mat' untuk menjatuhkannya daripada jawatan Menteri Besar dan Kerajaan PAS Kelantan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun dipetik sebagai berkata 'Kolonel Mat' yang disebut oleh Nik Aziz itu tidak merujuk kepada mana-mana individu sebaliknya ia hanya satu simbol mengenai wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan kepimpinan PAS di Kelantan.

Mengulas lanjut mengenai isu 'Kolonel Mat', Azidi berkata, ayahnya telah meninggal dunia enam tahun yang lalu.

"'Kolonel Mat' yang saya kenali itu telah meninggal dunia pada jam 7.40 petang pada 7 Oktober 2003 di Hospital Pakar Subang Jaya.

"Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keenam-enam anaknya," katanya.

Pada 11 November lalu, Syed Azidi yang dipecat oleh menantu Nik Aziz,Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK berkata beliau bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam perbadanan itu.

Isu menantu Nik Aziz itu timbul setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu PMBK dua kali untuk menyiasat dakwaan surat layang berhubung tuduhan kronisme, salah guna kuasa dan mempersoalkan pelantikan anggota keluarga terdekat menerajui syarikat milik kerajaan (GLC) awal bulan ini.

- NURUL AIN MOHD. HUSSAIN/ms