Ku Li diserbu pemberita lepas bertemu Anwar, Parlimen semalam

Thursday, November 19, 2009

Apabila Tengku Razaleigh Hamzah keluar dari Dewan Rakyat, tidak ramai yang ambil pusing, tetapi sebaik Ahli Parlimen Gua Musang itu masuk ke bilik rehat parlimen disambut oleh Ahli Parlimen PKR Machang, Saifuddin Nasution yang kemudian mengiringinya menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim, wartawan jurugambar kelam kabut berlari mengambil gambar.

Pakatan Rakyat telah mencadangkan penubuhan kaukus khas parlimen mengenai royalty petroleum dan telah menawarkan saya mengetuainya,” kata Tengku Razaleigh sebaik diserbu wartawan apabila sebaik pertemuannya dengan Ketua Pembangkang itn>

 


Turut berada dalam rundingan di bilik rehat parlimen itu ialah Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

“Mereka mencadangkan penubuhan kaukus itu kerana minyak sekarang menjadi isu hangat. Mereka berpendapat menerusi kaukus itu mereka dapat mencari jalan paling munasabah untuk menyelesaikan isu berkenaan,” kata Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li.

Apabila ditanya sama ada beliau menerima lamaran itu, Ku Li berkata beliau memerlukan masa untuk memikirkannya, dan tidak tergesa gesa membuat keputusan nya. 

“Lagipun saya telah lama dalam bidang ini, sejak penubuhan Petronas dan terbabit dengan kerja-kerja pengurusan serta merangka peraturan dan perundangan mengenainya. Saya akan mengikuti perkembangan isu ini dan lihat sama ada saya boleh menyumbang untuk mempertahankan hak rakyat berdasarkan kepada perlembagaan,” katanya.

Ku Li juga kurang bersetuju dengan penggunaan perkataan “Wang Ehsan” yang digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak .

“Mana ada wujud perkataan Wang Ehsan? Saya rasa ia jelas dalam perjanjian yang ditandatangani antara Petronas dan negeri-negeri di mana minyak ditemui, bahawa di mana minyak ditemui, tidak kira sama di daratan atau lautan, rakyat berhak mendapat royalti dan bukan ehsan,” katanya.


Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengadakan sidang media khas mengenai royalti minyak di pejabat di Kora Bharu Rabu.


Beliau menegaskan kerajaan negeri sepatutnya berhak menjadi tuan punya kepada hasil bumi seperti petrol, balak dan logam yang terdapat dalam sesebuah negeri itu.

Nik Aziz kata undang-undang petroleum dan royalti minyak yang ada sekarang hendaklah disemak semula dengan mengambil kira keadilan asasi dan tidak hanya mementingkan masalah sebelah pihak semata-mata.

Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini telah mengemukakan surat rasmi kepada pusat bagi menuntut bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion sejak 2004 berdasarkan laporan Jabatan Statistik.

Oleh: Noor Hasilah Ismail/AD