Rintihan di Sabah: kenapa hanya SAN, bagaimana dengan IC palsu?

Monday, November 23, 2009



KELANTANGAN Adun Sekong Datuk Samsudin Yahya mempersoal kelayakan Jimmy Wong Adun DAP Sri Tanjung bagaimana beliau mendapat ‘Sijil Anak Negeri’ (SAN) ketika persidangan Dewan Undangan Negeri baru baru ini, sungguh menarik perhatian umum malah isu tersebut menjadi ‘panas’ di kalangan rakyat Sabah yang ingin tahu siapakah dalang disebaliknya.



Malahan sepatutnya bukan sekadar isu SAN yang perlu disiasat tetapi juga kepada isu kontroversi lain yang sehingga kini belum selesai seperti pengeluaran Kad Pengenalan Palsu sepertimana yang dibongkarkan oleh penulis kontroversi terkenal, Mutalib MD.

SAN yang dibekukan oleh kerajaan negeri semasa era pemerintahan Parti Berjaya pimpinan mantan Ketua Menteri Sabah Datuk Harris Salleh, disifatkan oleh segenap lapisan rakyat Sabah satu-satunya pemimpin yang tegas dan berani serta berpandangan jauh, telah dapat menghidu kesan buruknya secara jangka panjang ke atas keselamatan negeri ini jika SAN terus dipergunakan dan diperkudakan oleh golongan tertentu untuk meraih keistimewaannya.

Malangnya Adun Sekong hanya sempat berkokok di dalam DUN yang bertamingkan imuniti DUN dan mengapa suara lantang itu tidak disusuli dengan tindakan luar dewan supaya banyak perkara lain dapat dirungkai satu persatu, tetapi mengapa sekadar ibarat menjadi ‘penyampai berita terkini’ di dalam dewan dan selepas itu pula ‘cuci tangan dan mulut’ dan terus berlalu.

Kini gendang dan rebana Umno/BN sudah dipalu Samsudin dan apakah sekadar tindakan ‘laporan Polis’ Pergerakan Pemuda Umno Sabah dan UPKO boleh menjerat kaki pemimpin DAP Sri Tanjung itu, sekaligus menjinakkan kelibatnya dari terus berkelakuan ‘celupar’ di dewan yang selama ini gelagat beliau membuatkan ramai pemimpin ‘Back bencher’ BN tidak selesa duduk.

Umum berpendapat bahawa Jimmy Wong yang dirujuk kepada Jawatankuasa Khas DUN kerana didakwa tidak berintergriti bukanlah suatu tindakan yang sebijak-bijaknya kerana kalau pun disebabkan pemilikan SAN yang dikhuatiri ada unsur keraguan ketidak tulenan dokumen itu sedangkan menurut Wong SAN telah diperolehinya lebih 30 tahun lalu.

Ramai berpendapat bahawa kes Wong yang memiliki SAN lebih serius daripada PTI yang telah mendapat ‘IC Palsu’ termasuk pemalsuan kerakyatan asing, di mana ia bukan lagi suatu perkara yang kabur atau samar-samar tetapi maklumat itu boleh diperolehi di mana-mana daerah di Sabah. Penganugerahan 'IC' ini sudah cukup beruntungan kepada sesatu pihak itu.

Untuk berlaku adil, pemimpin BN hendaklah mengetengahkan isu kerakyatan atau SAN di dalam persidangan DUN akan datang termasuklah usaha-usaha kerajaan menangani masalah pemberian kad pengenalan kepada PTI dan pengeluaran ‘IC Palsu’, kerana selagi isu tersebut tidak ditangani sepenuhnya rakyat tidak akan diam malah senantiasa ‘berkokok’ untuk menyelar kerajaan BN pada setiap kelemahannya.

Oleh: MAIL MATHEW