Penulis 'upahan' ini bukan asing bagi saya

Thursday, March 11, 2010



Membaca komentar Noor Diana sebagai reaksi beliau ke atas penulisan. Ruslan Kassim yang tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia, mengundang saya untuk turut sama terlibat melontarkan sedikit pandangan atas tajuk yang dibahaskan.


Pertama, saya ucap sekalung tahniah kepada Noor Diana atas penampilan sebagai penulis dan pengkritik wanita yang punya prinsip dan keberanian untuk menonjolkan sikap hipokrit dan munafik penulis upahan seperti Ruslan Kassim dan tentunya ramai lagi di luar sana.

Ruslan Kassim bukan asing pada saya. Kami sama-sama aktif dalam gerakan belia Islam, ABIM, yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim semasa zaman pengajian kami di U.K, dari 1981 hingga 1984.

Kami usrah bersama, turut disertai oleh pelajar-pelajar lain termasuk antara lainnya, Datuk Prof Yusof Othman yang sekarang menjadi Pengarah Institut Islam Hadhari, UKM.

Senarionya berubah apabila Anwar Ibrahim menyertai UMNO pada 1982. Ruslan Kassim menghabiskan ijazah Sarjana dan seingat saya dia pernah bertugas sebagai Majistret sebelum itu.

Saya dan beberapa sahabat lain tidak terpengaruh untuk menyokong UMNO walaupun punya peluang yang cukup baik ketika itu atas faktor keberadaan Anwar Ibrahim dalam UMNO pada 1982. Saya pun tidak tahu kenapa saya tidak tertarik dengan perjuangan UMNO walhal saya juga belum mengenali PAS masa itu.

Ruslan Kassim berada di kemuncak kekuasaan sebelum insiden pemecatan Anwar Ibrahim atas pertuduhan yang tidak bertamaddun yang dikepalai oleh Tun Dr. Mahathir. Ruslan Kassim boleh dikatakan punya hubungan rapat dengan bekas Tan Sri Rahim Tamby Chik, Ketua Menteri Melaka ketika itu. Kemana-mana juga rombongan keluar negara yang dianjurkan oleh Tan Sri Rahim, di situlah kelibat Ruslan Kassim dapat kita lihat.

Saya cukup menghormati prinsip Ruslan Kassim apabila terus menyokong perjuangan Dato' Seri Anwar Ibrahim selepas insiden paling tragis yang dihadapi oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Seingat saya, ketika rumah Dato’ Seri Anwar di'ambush' oleh gerombolan yang berpakaian topeng hitam dan mengheret Dato’ Seri Anwar ke Bukit Aman, yang berakhir dengan peristiwa 'lebam mata', Ruslan Kassim adalah antara tokoh UMNO yang turut mempertahankan Dato Seri Anwar daripada terus dizalimi oleh puak-puak yang diupah oleh UMNO.

Malang bagi Ruslan Kassim, mungkin periuk nasi beliau terlalu besar, tidak pernah berhadapan dengan kehidupan sebagai orang yang tidak punya kuasa seperti kita yang berada dalam PR, lantaran tidak mendapat apa-apa habuan projek dan fulus, maka mulalah mencari jalan mudah..mungkin dengan harapan akan dijadikan orang kanan kepada politikus UMNO yang punya kuasa dan kedudukan. Maka jadilah beliau seorang penulis upahan, yang terpaksa menggadai prinsip perjuangan dan harga diri.

Ruslan terpaksa menarik balik kenyataan beliau dalam satu ceramah yang menghentam peribadi Tan Sri Rahim Tamby Chik dan terpaksa memohon maaf sebagai syarat untuk mengelakkan tindakan saman malu oleh Tan Sri Rahim.

Ruslan juga pernah mengeluarkan kenyataan menghentam Dato Seri Wan Azizah dalam slot berita TV3 dan dalam nada sinis beliau berkata "Perjuangan PKR sudah menemui titik noktah".

Tetapi, saya bersyukur kehadrat Allah s.w.t, impian beliau untuk melihat PKR berkubur tidak kesampaian. Saya kira adalah lebih baik untuk Ruslan tidak menjual maruah dan harga diri beliau dengan menulis sesuatu rencana atau artikel semata-mata untuk menyedapkan hati manusia didalam UMNO. Lebih baik kita menulis untuk mencari keredhaan Allah dari mencari keredhaan manusia.

-hamzah abdullah/sakini