Protes jalur lebar, 'semakin luas semakin penipu'

Wednesday, April 7, 2010

Papantanda ini adalah papantanda sebenar yang didirikan di bulatan Jalan Tengah Nipah off Kastam Baru Lahad Datu; tetapi cogankata asalnya, ‘Semakin Luas @ Wilayah Celcom Broadband’ ditukarkan kepada ‘Semakin Luas @ Semakin Penipu’ sebagai tanda protes penduduk Lahad Datu terhadap Sistem Jalur Lebar Celcom.

Keghairahan Celcom yang menerajui sistem jalur lebar negara untuk melebarkan sayapnya ke Sabah yang mempunyai masalah pancaran kurang jelas, akibat sistem yang belum dikemaskini; menimbulkan kemarahan para pengguna broadband di daerah ini.


Seorang pengguna broadband, Sitta Sarah, 26, ketika menghubungi Sabahkini berkata beliau mendaftar broadband di Celcom Lahad Datu sebulan yang lalu dengan bayaran RM100 sebagai yuran pendaftaran.

Namun sejak daripada pendaftaran tersebut beliau seringkali gagal menggunakan broadband atau gagal mendapat capaian ke mana-mana server sekalipun talian pada komputer ribanya kelihatan stabil antara tiga hingga empat ‘line’ (capaian) pada setiap masa.

Sitta yang menetap di Taman Warisan 1, Jalan Tengah Nipah, Lahad Datu langsung tidak dapat menggunakan broadbandnya di rumah kerana langsung tidak ada talian atau hanya satu atau dua garis capaian sahaja.

“Apa gunanya saya membayar RM68 sebulan jika broadband yang dibekalkan kepada saya gagal mengakses sebarang talian internet? Kalau di bandar kadang-kadang boleh capai, tapi di gerai saya di Dam dan rumah saya, langsung tiada line,” ujar Sitta Sarrah yang baru menjelaskan bil bulan kedua sejumlah RM98 (termasuk caj pelbagai) pada petang tadi.

Menurut Sitta Sarah, bukan beliau sahaja yang mengalami masalah tersebut, malah beberapa rakannya turut mengadu mengalami masalah serupa sehingga menyukarkan mereka berurusan dengan menggunakan internet.

“Jika keadaan berterusan, mungkin saya akan kembalikan broadband ini kerana langsung tidak memuaskan. Lebih baik saya menggunakan wi-fi percuma di restoran daripada membeli broadband, tetapi tidak dapat digunakan,” kata Sitta Sarah yang mendesak agar Celcom menaiktaraf pemancarnya yang semakin mundur kerana keghairahan untuk menyaingi Digi yang mudah dicapai di semua kawasan termasuk Tungku.

Kata Sitta Sarah, beliau akan mengemukakan aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna jika keadaan masih berlarutan sehingga hujung April.

-Oleh: SURIATI MAHMUD