Pending Permata Diraja di temui di kedai pajak.

Monday, May 24, 2010

Pending Diraja yang ditebus di kedai pajak.

Harta peninggalan kerabat sultan terakhir Singapura, Sultan Hussain Shah, sukar dijejaki kerana tiada rekod yang dapat menunjukkan di mana ia berada.


Namun, dua pending emas kurun ke-19 berjaya dijejaki pada 2008, bukan di tempat yang seharusnya ia berada, tetapi di sebuah kedai pajak di Tampines.

Dua pending itu, yang merupakan sejenis perhiasan emas berkerawang yang dipakai di dada atau pinggang, ditebus oleh Taman Warisan Melayu (TWM) di kedai tersebut pada harga $16,625 setiap satu.

Pending-pending itu direka khas dengan corak Melayu Johor-Riau-Lingga yang mempunyai unsur-unsur geometri Islam dan dihiasi dengan batu-batu permata, seperti berlian dan delima.

Ia ditebus semula untuk dijadikan bahan koleksi bernilai tinggi TWM kerana pending-pending tersebut mempunyai unsur-unsur warisan Melayu Singapura.

Kedua-duanya sekarang disimpan di TWM tetapi tidak dipamerkan buat masa ini kerana akan menjadi sebagian daripada koleksi baru TWM yang bakal berwajah baru kelak.

Menjelang November ini TWM akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada kerja-kerja peningkatan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB).

Menurut kurator muzium TWM, Encik Khalid Shukur Bakri, TWM mengetahui tentang dua pending itu daripada seorang waris ketujuh Sultan Hussain, Tengku Mohammad Shawal Tengku Abdul Aziz.

Menurut Encik Khalid, pending-pending itu digadai oleh seorang waris Sultan Hussain tetapi apabila tempoh gadai selama setahun semakin berakhir beliau tidak mampu menebusnya.

Tengku Mohammad Shawal kemudian menyarankan pihak Yayasan Warisan Melayu menebusnya untuk dipamerkan di muzium TWM.

'Difahamkan bahawa penebusan oleh yayasan dipersetujui para waris. Mereka tidak mahu pending-pending itu jatuh ke tangan orang lain dan meminta kami menebusnya. Diharapkan pekara pekara sedemikian tidak akan berulang lagi.

'Kededua pending ini amat istimewa kerana ia merupakan satu-satunya artifak keluarga diraja Singapura yang ada di TWM dan artifak paling berharga milik TWM.

'Setahu saya masih ada beberapa barang berharga lain yang dimiliki keturunan kerabat Sultan Hussain, seperti mohor beliau.

'Mungkin barangan itu semua terlalu berharga bagi mereka oleh itu mereka keberatan memberinya kepada kami,' kata Encik Khalid, 47 tahun.

Bahkan, sejauh ini TWM tidak mempunyai sebarang gambar Sultan Hussain.

Kerabat tertua yang difotokan ialah cucu Sultan Hussain, Tengku Alauddin Mansur Shah, atau Tengku Alam, yang sekarang bermakam di pekarangan Masjid Sultan.

Menurut Encik Khalid, satu daripada pending itu dimiliki Tengku Daik, iaitu daripada keturunan ketiga Sultan Hussain, manakala satu lagi milik Raja Mohammed Yusuf daripada kesultanan Riau, yang mempunyai talian melalui perkahwinan dengan kerabat Sultan Hussain.

Encik Khalid berkata pending itu digunakan kerabat diraja semasa menghadiri majlis-majlis kebesaran.

'Ketika itu, penjajah British sering menggunakan kepala tali pinggang khas semasa menghadiri majlis untuk membezakan diri mereka.

'Kerabat diraja menggunakan pending-pending ini bagi tujuan serupa,' kata Encik Khalid.- Shamsul Jangarodin