Saya juga diliwat di Hongkong, Singapura dan Bangkok.

Friday, May 14, 2010


Saksi utama, Encik Mohd Saiful Bukhari Azlan, semalam memberitahu mahkamah, beliau diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mereka melawat Hongkong, Singapura dan Bangkok.


Encik Mohd Saiful berkata beliau mengambil masa dua hari sebelum membuat laporan polis kerana ia satu keputusan yang besar dan melibatkan maruah serta masa depan dirinya.

Datuk Seri Anwar, 63 tahun, didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya itu pada 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Ditanya oleh ketua peguam Datuk Seri Anwar, Encik Karpal Singh, mengapa Encik Mohd Saiful bertemu dengan seorang Penolong Superintenden (ASP) Rodhwan Yusof - kini Penolong Pesuruhjaya (ACP) - di Hotel Melia, Kuala Lumpur pada 24 Jun 2008, Encik Mohd Saiful berkata:

'Saya ingin memberitahu beliau masalah saya. Saya telah diliwat oleh Anwar beberapa kali di dalam dan di luar negeri, termasuk Hongkong, Singapura dan Bangkok.'

Encik Karpal turut merujuk kepada laporan laman berita Malaysiakini bertarikh 15 Ogos 2008 yang menukil Encik Mohd Saiful sebagai berkata kejadian pada 26 Jun 2008 adalah kali pertama beliau diliwat oleh Datuk Seri Anwar.

Apabila Encik Karpal bertanya adakah laporan itu betul, Encik Mohd Saiful menjawab:

'Ada kesilapan bila saya kata ini kali pertama saya diliwat. Saya silap menafsirkan soalan (wartawan).'

Semalam, Encik Mohd Saiful sekali lagi menafikan yang beliau mengada-adakan dakwaan liwat itu dengan bantuan Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan pihak polis.

Ditanya mengapa beliau mengambil masa dua hari setelah diliwat pada kali terakhir, sebelum membuat laporan polis, Encik Mohd Saiful berkata:

'Saya tak buat laporan polis kerana ini melibatkan maruah dan masa depan saya.'

Beliau juga ingin mendapatkan nasihat daripada beberapa orang, termasuk bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Ezam Mohd Noor, dan juga seorang guru agama.

Encik Karpal turut menyoal Encik Mohd Saiful sama ada beliau mandi pada 26 Jun 2008.

Encik Mohd Saiful menjawab yang beliau mandi pagi.

Encik Karpal menyoal:

'Ada awak mandi serta cuci dubur selepas kejadian?'

Encik Mohd Saiful menjawab:

'Saya bilas'.

Encik Karpal: Kenapa tak cuci?

Encik Mohd Saiful: 'Saya mahu simpan bukti.'

Encik Karpal kemudian memohon perbicaraan yang disambung pada petang semalam diadakan secara tertutup. -- Agensi.