Melayu Singapore tidak terlibat kerana sokong pada Umno

Tuesday, June 22, 2010


Saudara Pengarang,

SAYA ingin merujuk kepada ucapan Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia, baru-baru ini.

Saya rasa usaha beliau hendak merangsang semangat Melayu Malaysia supaya terus menyokong Umno dengan membabitkan kedudukan orang Melayu Singapura adalah tidak adil serta langsung tidak berketetapan secara am nya.

Dalam soal ini, Dr Mahathir harus melihat dan mengkaji sebab-sebab mengapa masyarakat Melayu meninggalkan perjuangan Umno sekarang. Membabitkan orang lain atas kesalahan sendiri bukanlah ajaran Islam.

Dr Mahathir patut bersikap jujur dalam usaha hendak memajukan Melayu Malaysia.

Tidak masuk akal selepas lebih 50 tahun merdeka, masyarakat Melayu Malaysia masih ketinggalan dalam banyak aspek kehidupan walaupun diberi layanan istimewa.

Adakah ini berpunya daripada dasardasar lapuk kerajaan yang ditunjang oleh Umno itu sendiri?

Dasar pendidikan, khususnya, harus disemak dan orang-orang biasa Melayu Malaysia perlu diberi peluang mengecap harta negara.

Pada pandangan saya, masyarakat Melayu Malaysia tidak ubah dengan Melayu Singapura. Mereka rajin menimba ilmu dan rajin bekerja. Malangnya, di Malaysia, harta negara masih diagih-agihkan mengikut warna kulit dan keturunan.

Saya berasa sedih melihat orang-orang biasa Melayu, baik di Kelantan, Terengganu, Perlis maupun di Kedah masih dipinggirkan dalam banyak perkara.

Siapa yang harus kita salahkan? Orang Cina yang bekerja keras saban hari walaupun sama-sama dipinggirkan seperti golongan Melayu bawahan? Atau tokoh-tokoh politik Umno yang meraih segala macam nikmat dan kekayaan?

Melayu Singapura bersama-sama rakyat lain berjuang mengikut meritokrasi.

Tidak timbul langsung bagi Melayu Singapura “membongkok” kepada sesiapa pun.

Yang berjaya adalah mereka yang kental menimba ilmu dan bekerja keras.

- Rhazaly Noentil/bhs