Saya tiada masalah peribadi dengan bekas Mufti Perlis

Saturday, June 26, 2010

Penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras (Ilim), Encik Zamihan Mat Zin, berkata beliau tiada masalah peribadi dengan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Sebaliknya, beliau mengakui wujudnya 'pergolakan pemikiran' sehingga banyak pihak yang melihatnya sebagai satu serangan terhadap tokoh agama itu.

Pada masa yang sama, Encik Zamihan juga mempertikaikan tindakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah, dalam mengendalikan isu semasa berkaitan fahaman Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) sebagai tidak profesional.

Malah, pegawai kanan bidang pemikiran Institut Latihan Islam Malaysia itu memberitahu, beliau tidak mengaitkan Dr Mohd Asri dengan fahaman Wahabi dan melontarkan pemikiran keras semata-mata untuk mencantas bekas Mufti Perlis itu daripada arus perdana Islam di Malaysia, lapor laman berita The Malaysian Insider, semalam.

'Bagi saya tiada (elemen mahu mencantas Asri). Kalau dia berpandangan begitu terpulang (kepada beliau).

'Bagi saya tiada. Dia nak jadi mufti, hendak jadi menteri, nak jadi Batman, Ultraman, Superman... dia punya hal.

'Itu ruang yang dia ada, silakan, tetapi pemikiran-pemikiran yang salah kita tetap sanggah... itu sahaja,' kata Encik Zamihan ketika ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya kelmarin.

Sebaliknya, Encik Zamihan, yang kini menjadi tumpuan isu kontroversi dikaitkan empat tokoh politik dan agama, memberitahu laman berita itu bahawa Dr Mohd Asri yang mengamalkan cara salah untuk 'mencantas saya, supaya saya dibuang dari Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dengan menghantar surat kepada menteri (pada tahun 2007)'.

'Dalam satu ceramah dia mengakui begitu. Saya simpan rakaman ceramah itu, di Taman Sri Ukay,' katanya.

Beralih kepada Datuk Saifuddin pula, Encik Zamihan berkata timbalan menteri itu tidak bersikap terbuka dalam isu semasa berkenaan.

Menurutnya, Datuk Saifuddin membuat kenyataan akhbar dengan mengatakan ada kalangan pegawai kanan kerajaan cuba memburukkan dan mengaibkan pensyarah tertentu dengan aktiviti keganasan JI.

Encik Zamihan berkata, selepas beliau menyampaikan ceramah tidak ada soalan atau ulasan diutarakan, 'semua senyap, doktor, profesor, polis, semua senyap'.

'Lepas itu dan habis semua itu pergi minum, tiba-tiba ada seorang lelaki muda datang jumpa saya, muka dia gementar sikit, dia kata 'ustaz saya tidak boleh terima apa ustaz bentang tadi, saya sikit pun tidak boleh terima, saya tidak setuju'.

'Saya kata, 'tuan, kalau tuan tidak setuju pembentangan saya, itu pandangan tuan, yang saya kemukakan ialah fakta, dari kitab ke kitab,' kata Encik Zamihan, yang mana ketika itu beliau sedar lelaki itu adalah Datuk Saifuddin.

Di Parlimen, semasa menjawab satu soalan, Datuk Saifuddin berkata bahawa beliau telah meneliti hujah yang dibuat Encik Zamihan dan mendapati ia tidak berasaskan kepada fakta kukuh.

Menurutnya, tindakan mengaitkan fahaman Wahabi yang tidak pernah difatwa sebagai ajaran sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dengan kegiatan pengganas adalah perbuatan yang melampau.-bhs