Dr.Mahathir memecahkan janji nya, Melayu Singapura

Thursday, July 15, 2010

Saudara Pengarang,

Saya membaca penulisan beberapa pembaca Forum mengenai ulasan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang banyak memperkecilkan dan merendah rendahkan masyarakat Melayu Singapura.

Saya musykil mengapa beliau berkata demikian sedangkan beberapa pemimpin Malaysia sebelum ini selalu memberi contoh yang Singapura dan rakyatnya sebagai antara teladan baik. Walaupun rakyat Singapura dikatakan bersikap kiasu (tidak mahu kalah), tetapi ramai mereka berjaya.

Dr Mahathir pula suka berpandangan negatif terhadap orang lain dan beliau masih tetap mahu mencampuri hal ehwal orang lain, termasuk kerajaan Malaysia sedia ada, sedangkan beliau berkata tidak mahu campur tangan selepas bersara.

Kritikan beliau termasuk perjanjian yang dipersetujui kededua pemimpin Singapura dan Malaysia dalam isu-isu tertunggak.

Setahu saya juga, orang Melayu Malaysia juga kurang peka dengan kedudukan dan perkara berkaitan Melayu Singapura.

Contohnya, saya pernah menyertai rombongan akar umbi Bukit Timah ke sebuah kawasan di Negeri Sembilan. Seorang ketua kampung yang juga pemimpin Umno di kawasan itu berasa hairan kenapa orang Melayu Singapura dapat mengadakan persembahan tarian dan kompang sedangkan beliau berprasangka bahawa orang Melayu Singapura dikongkong.

Walaupun orang Melayu di Singapura tidak menerima hak-hak istimewa seperti orang Melayu di Malaysia, kita masih dapat bersaing di bawah sistem meritokrasi dan, tidak seperti anggapan orang Melayu Malaysia terhadap kita, dan kita di sini tidak diketepikan.

Orang Melayu Malaysia nampaknya tidak tahu keadaan kita sebenar dan hanya menerima apa sahaja kata-kata pemimpin mereka, terutama nya pemimpin Umno mereka, walhal orang Melayu Singapura tidak pernah campur tangan dan mengulas kedudukan orang Melayu Malaysia.

Haji Diman Ahadi