Fandi Ahmad ditawar jadi jurulatih FC Groningen

Tuesday, August 3, 2010


Fandi Ahmad telah ditawarkan kontrak menjadi penolong jurulatih FC Groningen dari Belanda.

Bekas pemain Groningen dari 1983 hingga 1985, Fandi telah menerima tawaran itu daripada pengurus besar kelab tersebut, Hans Nijland, selepas muncul dalam satu perlawanan kelmarin sebagai membuka tirai pertandingan Liga Bahagian Satu Belanda pada hujung minggu ini.

'Saya telah ditawarkan kontrak menjadi penolong jurulatih Groningen. Pengurus besar kelab Groningen, Nijland, yang membuat tawaran itu.

'Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah ketua jurulatih Groningen, Pieter Huistra,' kata Fandi apabila dihubungi di Groningen semalam sebelum berlepas bersama dua anaknya, Irfan, dan Ikhsan, ke London bagi menyertai Pesta Akademi Arsenal sehingga Ahad ini.

'Oleh kerana kesuntukan masa, tidak banyak yang dapat dibincangkan tetapi kami akan meneruskan rundingan itu apabila pasukan Groningen mengadakan lawatan ke Singapura dan Indonesia pada September ini.

'Banyak perkara yang perlu dihuraikan termasuk soal permit kerja. Saya fikir saya mempunyai peluang 70 peratus menyertai Groningen,' ujar Fandi yang kontraknya dengan kelab Pelita Jaya dari Indonesia akan berakhir pada November ini.

Bekas rakan sepasukannya dalam FC Groningen, Henks Deehan, yang bertanggungjawab mengatur perlawanan di Stadium Euroborg pada Ahad lalu, yakin sepenuhnya Fandi akan menyertai FC Groningen.

'Kalau Fandi menyebut 70 peratus, saya pula memberitahu 100 peratus. Saya yakin Fandi akan mempunyai peluang menyertai Groningen,' kata Deehan yang telah menemani Fandi ke lapangan terbang sebelum berangkat ke London.

Dalam perlawanan itu, bekas pemain FC Groningen telah membelasah pasukan Vendam 6-1 dengan Fandi bukan sahaja menyumbatkan gol menarik melalui tendangan percuma bahkan merintis tiga gol pasukannya yang lain.

'Sekiranya saya berpeluang menjadi penolong jurulatih Groningen, ia bermakna saya boleh membawa kedua-dua anak saya, Irfan dan Ikhsan, bermain bola sepak di sini.

'Mengikut peraturan Belanda, kanak-kanak bawah usia yang ingin mengembangkan bakat bola sepak di sini harus ditemani oleh keluarga,' Fandi memberitahu.

Mengulas reaksi peminat-peminat Groningen, Fandi memberitahu: 'Sambutannya hebat seperti ketika saya bersama pasukan ini pada tahun '80-an dulu.'-bhs