'Hari Membakar Al-Quran Antarabangsa' setiap 11 September

Monday, August 2, 2010


Sebuah kumpulan gereja di wilayah Florida, Amerika Syarikat, berkata ia merancang untuk membakar naskhah- naskhah Al-Quran di khalayak ramai pada...

ulang tahun kesembilan peristiwa serangan penggganas pada 11 September 2001, demikian lapor sebuah agensi berita antarabangsa.

Tindakan itu dijangka mengundang ancaman daripada kumpulan-kumpulan Islam dan amaran bahawa ia boleh meningkatkan kes berlandaskan kebencian.

Kumpulan 'Dove World Outreach Center of Gainesville' di Florida, dalam laman Facebooknya berkata ia akan mengadakan satu 'Hari Membakar Al-Quran Antarabangsa' pada setiap 11 September, lapor AFP semalam.

Ia meminta kumpulan-kumpulan agama lain untuk menyertai rancangannya itu, dalam usaha bersatu dalam perjuangannya untuk 'menentang amalan jahat Islam,' katanya menurut laporan agensi berita itu lagi.

'Islam dan undang-undang syariah bertanggungjawab atas 9/11,' kata paderi kumpulan itu, Dr Terry Jones, kepada AFP.

Kumpulan-kumpulan Islam arus utama mengutuk langkah itu dan menyesali sentimen yang digalakkan oleh kumpulan anti Islam di Gainesville itu.

'Malangnya, di Floridadan seluruh negara, Islam fobia (atau kebencian melulu terhadap Islam) sebenarnya sedang meningkat,' kata jurucakap Majlis bagi Hubungan Amerika-Islam (Cair), Encik Ramsey Kilic, kepada AFP.

'Saya khuatir mereka yang memiliki sentimen anti-Islam mungkin berfikir ini adalah tindakan sah dan mungkin mahu menyerang masjid atau menyerang Muslim di jalanan,' tambahnya.

Kumpulan 'Dove World Outreach Center' itu juga merancang mengadakan satu acara anti-homoseksual esok, 2 Ogos, di luar bangunan Dewan Bandar Raya Gainesville.

Acara yang dinamakan 'Protes Tidak Mahu Mayor Homo' itu bertujuan menentang Mayor Craig Lowe, yang secara terbuka mengaku dirinya homoseksual.