Umno, "mengapa perlu panas punggung"?

Sunday, September 19, 2010


Fungsi berkesan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dalam memperjuangkan kedaulatan hak istimewa orang Melayu dan kaum peribumi...

lain membuatkan pergerakan Pemuda UMNO ‘merasa panas punggung’ dan bimbang tidak lagi dilihat relevan dalam perjuangan politik orang Melayu.

Ketua Wira Perkasa Kedah, Shaharol Niza Omar berkata, Perkasa tidak pernah pun menyatakan minat mengambil alih peranan UMNO dalam perjuangan politik orang Melayu, sebaliknya tujuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu semata-mata menyatukan kembali orang Melayu dan kaum peribumi yang berpecah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Menurutnya beliau, sebagai satu-satunya NGO Melayu yang aktif mempertahankan hak Bumiputera, seharusnya UMNO dan pergerakan pemudanya berganding bahu dengan Perkasa untuk memastikan kedaulatan perlembagaan dipelihara, bukannya mempertikaikan fungsi Perkasa.

“Faktor berlakunya pertikaman lidah antara Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dengan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali disebabkan Khairy dan konco-konconya melihat Perkasa seolah-olah ‘mencuri’ isu membabitkan hak orang Melayu daripada mereka untuk diketengahkan umum.

“Mereka cuba mempergunakan isu-isu orang Melayu untuk kepentingan politik mereka, berbeza dengan Perkasa yang tidak mengharapkan apa-apa balasan dalam perjuangannya,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian, semalam.

Shaharol Niza berkata, Perkasa Kedah turut mencabar semua parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti Gerakan, MCA dan MIC untuk menyatakan pendirian secara terbuka menolak NGO berasaskan perkauman sekiranya mereka benar-benar ikhlas meminta UMNO menjauhi Perkasa.

Menurutnya, pendirian Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Perkasa disifatkan sebagai satu kemenangan moral buat MCA dan parti komponen lain.

“Parti komponen lain berterusan mendesak UMNO menjauhi Perkasa, sedangkan mereka semua sanggup bersatu di belakang pertubuhan berasaskan perkauman seperti Dong Jiong, Su Qui dan Hindraf demi kepentingan kaum masing-masing.

“Adalah satu kemenangan moral kepada MIC, MCA dan Gerakan sekiranya UMNO menjadi pak turut dengan menjauhi Perkasa dan saya berharap jangan bila sudah dekat PRU ke-13, baru UMNO terhegeh-hegeh hendak cari kami,” katanya.

Shaharol Niza juga menolak kemungkinan pesanan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan puak pelampau ditujukan kepada Perkasa dan menyifatkan lebih banyak NGO di negara ini yang amalkan sikap perkauman ekstrem.

“Apa dosa Perkasa dituduh sebagai kumpulan pelampau sedangkan tujuan kami ditubuhkan semata-mata mempertahankan hak kaum Melayu dan Bumiputera.

“Saya yakin ucapan Perdana Menteri bukan ditujukan kepada kami dan Perkasa berjanji tidak akan melakukan perkara yang membatasi perlembagaan negara dalam perjuangan kami,” kata Shaharol Niza - metro18