Rozaliya di temui di Bukit Bintang

Thursday, October 21, 2010



Rozaliya Mat Lazim, 20, gadis yang dilapor hilang selepas keluar bersama tunangnya untuk membeli barangan perkahwinan di sini 13 Oktober lepas ditemui di kawasan Bukit Bintang di ibu negara, Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner (ACP) Mohd Jasmani Yusoff berkata Rozaliya dibawa pulang oleh anggota polis yang mendapat maklumat mengenai lokasi gadis itu dan diserahkan kepada keluarganya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, polis mendapati wanita itu ke Kuala Lumpur bersendirian dengan menaiki bas tanpa paksaan daripada pihak lain dan tindakan Rozaliya melarikan diri itu berpunca daripada masalah keluarga.

"Rozaliya juga sempat bekerja selama dua hari di Bukit Bintang dan hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kes itu. Kes ini dianggap selesai," katanya kepada pemberita di sini Rabu malam.

Rozaliya yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 12 November ini dilapor hilang ketika keluar membeli barangan persiapan perkahwinannya di sini, Rabu lepas.

Rozaliya yang berasal dari Bandar Baru Cheneh, Kemaman keluar bersama tunangnya Mohd Hilmi Mohd Nor, 24, yang menjemput gadis itu di rumahnya kira-kira pukul 11 pagi dan dia dilapor hilang selepas menghantar SMS kepada tunangnya di sebuah pasar raya di sini.

Mohd Jasmani berkata bertindak atas laporan polis mengenai kehilangan gadis itu yang dibuat pada pukul 10.41 malam Rabu lepas, polis menubuhkan pasukan khas bagi mengesan Rozaliya.

Hasil laporan media dan gambar yang dikeluarkan, polis menerima panggilan daripada orang ramai pada pukul 12 tengah hari tadi yang memaklumkan gadis itu berada di Bukit Bintang, katanya.

Beliau berkata Rozaliya tiba di Kuantan kira-kira pukul 8 malam ini dan disambut oleh saudara mara dan keluarga tunangnya, Mohd Hilmi Mohd Nor.

Ayah Rozaliya, Mat Lazim Mat Ismail, 52, berkata dia amat gembira dan lega dengan kepulangan anaknya itu dan akan mengadakan majlis kesyukuran. - BERNAMA