Bantuan dari BN tidak haram ... ehmm

Monday, November 8, 2010


Pemberian dan bantuan daripada kerajaan Barisan Nasional dianggap tidak haram jika rakyat merasa tidak ‘terikat’ dan mendapat kebebasan untuk menyokong mana-mana parti di negara ini.

Yang Dipertua Pas Kawasan Dungun, Azman Shapawi Abdul Rani mendakwa, apa yang menjadi pertikaian berhubung perkara itu ialah apabila BN memberi sumbangan kepada rakyat tanpa memberi kebebasan kepada mereka.

Beliau berkata, beberapa kes berlaku melibatkan bantuan daripada BN yang menyebabkan rakyat berasa tidak bebas untuk membuat pilihan terhadap parti tertentu.
“Banyak berlaku perkara seperti ini seolah-olah pemberian itu adalah usaha supaya rakyat menyokong mereka dan ini tidak betul.

“Bagaimanapun, apa yang dia mahu bagi rakyat boleh ambil jika itu menjadi hak dia, tetapi kalau rasuah, inilah yang menyebabkan mereka terikat, tiada kebebasan. Islam pun tidak membenarkan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta Pas bertanggungjawab dan sedia berdepan implikasi berhubung fatwa pemimpinnya bahawa sesiapa mendapat bantuan kerajaan Pas, haram untuk menerima daripada BN.

Azman yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat berkata, sebahagian besar wang dan peruntukan daripada kerajaan BN adalah duit rakyat dan peruntukan yang disalurkan kepada Kerajaan Negeri adalah tanggungjawab pihak itu sebagai sebuah kerajaan.

Bagaimanapun, apa yang tidak disenangi daripada itu ialah apabila berlaku bantuan dan projek segera dalam sesuatu pilihan raya.

"Sedangkan mereka sudah tahu janji-janji itu akan hilang begitu sahaja. Masyarakat kena cerdik walaupun mereka penerima bantuan daripada kerajaan.

"Mereka tiada duit khusus untuk membantu rakyat kecuali apabila tiba pilihan raya,” katanya. – 7/11