Mahathir jawabalik respon rakyat Melayu Singapura

Monday, January 24, 2011

Rakyat Singapura tidak dibolehkan menggambarkan keburukan dan aspek-aspek negatif mengenai pemerintah republik itu, kata bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, malam kelmarin ketika menjawab respons beberapa pembaca akhbar di negara jiran itu.

Dr Mahathir dipetik laman The Malaysian Insider sebagai berkata rakyat negara jiran itu 'mempunyai kebebasan' bercakap selagi apa yang diperkatakan itu memihak kepada pemerintahan mereka.

'Mereka mempunyai kebebasan bercakap di Singapura di mana anda boleh bercakap apa yang anda suka selagi ia memihak kepada pemerintah,' kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas melancarkan gerakan Viva Palestina Malaysia di sini.

Sehubungan itu, kata beliau, rakyat Singapura dialu-alukan membuat reaksi sedemikian tetapi mereka dikehendaki berkelakuan baik di Singapura.

Khamis lalu, agensi berita Bernama melaporkan Dr Mahathir telah menjadi topik hangat apabila ulasan-ulasannya mengenai nasib Melayu Singapura menjadi polemik dan mendapat kritikan pedas beberapa orang Melayu setempat.

Akhbar Berita Harian Singapura menyiarkan beberapa surat daripada pembacanya sepanjang minggu lalu yang mengecam Dr Mahathir kerana sering memberi ulasan mengenai nasib kaum Melayu republik itu yang telah terpinggir dan ketinggalan.

Dalam ruangan forum akhbar itu, pembaca Haji Sallim Haji Ahmad menulis bahawa beliau rasa tercabar mengikuti ulasan Dr Mahathir yang membuat kenyataan yang tidak berasas bahawa Melayu republik itu terpinggir dan tertinggal.

'Inilah hujah kegemarannya yang pedas dan luncas setiap kali mempersoal masalah yang menghambat Melayu Malaysia yang belum lagi terpinggir pada logika Dr Mahathir.

'Kekerapan ungkapan yang menjadi sandarannya ialah menegaskan bahawa Melayu Singapura terpinggir sehingga akhir dunia,' kata Haji Sallim.

Menurutnya, Dr Mahathir, yang terbuai dengan populariti nya di alam siber dan blog, suka menggunakan Melayu Singapura sebagai contoh.

Penulis itu juga mempertahan kedudukan Melayu Singapura dengan menyatakan bahawa kaum itu maju tanpa menagih subsidi, dan kedudukan agama Islam di Singapura terpelihara dan berkembang walaupun ia bukan agama rasmi.

Seorang lagi pembaca, Hajah Kamariah Lim Li Hwa, pula menegur Dr Mahathir bahawa sebelum membuat apa-apa kenyataan tentang orang Melayu Singapura, diharap beliau 'menyelidiki dulu keadaan kami' kerana mereka 'berasa senang hati dan bersyukur' disebabkan pemerintahnya 'menjalankan amanah dengan telus'.- bhs