Perkasa Pertahan Tindakan 'Datuk T'

Thursday, March 24, 2011

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempertahankan tindakan trio 'Datuk T' yang mendedahkan video seks yang dikatakan melibatkan pemimpin utama parti pembangkang.

Ketua Wira Perkasa, Arman Azha Abu Hanifah berkata, pihaknya bersetuju dengan pendedahan yang dilakukan itu bagi membuktikan wajah sebenar mereka yang didakwa terlibat atas nama kebenaran.

"Pihak yang mendedahkan kurang dosanya dari yang melakukan zina dalam video itu," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Hadir sama termasuk Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali.

Beliau mengulas pengakuan trio 'Datuk T' iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim bahawa mereka adalah dalang di sebalik pendedahan video seks terbabit.

Isnin lalu, mereka mendakwa memiliki klip video hitam putih yang memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur wanita di sebuah hotel di sini.

Sehubungan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa membuat laporan polis di IPD Dang Wangi berhubung rakaman video aksi seks yang ditayangkan kepada wartawan di Carcosa Seri Negara. Dalam laporan yang salinannya diedarkan kepada media itu, Anwar menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video itu.

Anwar menyifatkannya sebagai serangan yang mengaibkan, melampau dan bermotifkan politik ke atas karakter serta reputasi beliau dan keluarganya.

Sementara itu, Syed Hassan berkata, pertubuhan itu mahu mana-mana pihak terlibat agar tidak menyebarkan klip video seks berkenaan.

Sehubungan itu, tambahnya, pertubuhan itu mahu sebuah suruhanjaya diraja yang bebas ditubuhkan bagi menyiasat kesahihan klip video tersebut.

Katanya, suruhanjaya berkenaan mestilah diangggotai pakar-pakar yang tiada kepentingan politIk sama ada kerajaan atau pembangkang.

"Jangan dilantik panel-panel dari parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang sebab nanti dalam menilai video itu ada yang kata betul ada yang kata palsu.

"Lantik mereka yang bebas termasuk pakar-pakar dari luar negara atau pertubuhan bukan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Syed Hassan sekali lagi menegaskan bahawa pertubuhan itu tiada kena mengena dengan pendedahan video seks berkenaan walaupun pemimpin kanan mereka terlibat.

Beliau mendakwa telah menghubungi Shuib bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

"Kami pun terkejut apabila mengetahui beliau salah seorang 'Datuk T' tetapi beliau telah menjelaskan bahawa penglibatannya atas nama individu yang tiada kaitan langsung dengan Perkasa," jelasnya.- Oleh HAIRULAZIM MAHMUD