Minyak, elektrik naik harga tapi Petronas untung RM241 bilion

Thursday, June 9, 2011


Ketika minyak petrol RON97 dinaikkan beberapa kali oleh kerajaan Umno-BN dan terbaru gas asli yang menyaksikan kenaikan tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus, Petronas dicatat mengaut lebih keuntungan RM241 bilion.

Petronas juga dilapor memperoleh keuntungan lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011, didorong kenaikan harga semua produk dan jumlah daganganyang tinggi.

Presiden dan ketua pegawai eksekutif Datuk Shamsul Azhar Abbas berkata perolehan Petronas telah meningkat 14.4 peratus kepada RM241.2 bilion daripada RM210.8 bilion.

Sementara itu keuntungan pracukai juga dikatakan meningkat 34.5 peratus kepada RM90.496 bilion daripada RM67.3 bilion sebelum ini.

Syarikat minyak negara itu dalam masa sama turut mengumumkan dividen sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan.

Pada April lalu, petrol RON 97 dinaikkan sebanyak 20 sen kepada RM2.70 seliter yang merupakan kenaikan kali kelima sejak harga bahan api itu diapungkan dan kenaikan kedua sejak 31 Januari lalu.

Sementara itu, kerajaan Umno-BN menaikkan lagi tarif elektrik dengan purata 7.12 peratus bermula 1 Jun lalu sebagai usaha menarik balik subsidi daripada rakyat, meskipun Tenaga Pengeluar Bebas (IPP) memperoleh RM19 bilion hingga RM22 bilion setahun.

Gas asli pula dinaikkan RM3 setiap mmBtu setiap enam bulan sehingga jadi mencecah harga pasaran pada 2016, apabila harganya diapung sepenuhnya.

Pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini menyelar kenaikan itu dan mendesak supaya kerajaan mendedahkan perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara Tenaga Nasional Berhad dan IPP yang lebih menguntungkan syarikat korporat itu.

Dalam masa yang sama pula, Petronas dikatakan menanggung subsidi gas sehingga mencecah RM131 bilion akibat daripada perjanjian berat sebelah tersebut, apabila dipaksa menjual gas dengan harga yang lagi lebih rendah kepada IPP. - keadilandaily