Pas desak Polis hentikan 'Pintomin'...

Thursday, October 13, 2011


Tahniah kerana Polis Sabah telah berjaya menangkap tertuduh dalam kes bunuh paling kejam di Sabah awal bulan ini, Inspektor Ahmad Rizal Omar, yang juga merupakan kekasih gelap mangsa, Kartini Binti Borhan.

PAS Sabah menghargai tugas serta tanggungjawab yang telah dilaksanakan oleh PDRM terutama Polis Keningau sehingga tertangkapnya suspek utama yang terlibat dengan pembunuhan kejam teman wanita nya di Taman Adika, Keningau.

Bagaimanapun, PAS Sabah berharap agar PDRM tidak menjadikan kes bunuh ini sebagai ‘Sandiwara’ atau ‘Pintomin’ untuk menutup imej buruk polis kerana sebelum ini kes ini secara 'mudah' diklasifikasikan sebagai mangsa rompak dan bunuh.

Kebijaksanaan polis untuk mencari pembunuh sebenar amat diharapkan, maka sewajarnya Inspektor Rizal yang ditahan reman mengikut Seksyen 117 didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kesalahan nya atas niat membunuh.

Jika penangkapan tersebut hanya atas dakwaan bersubahat (abetting), maka PAS Sabah sangat sangsi tentang siapakah pembunuh Kartini dan menggambarkan seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan dari pengetahuan umum.

Sehubungan itu, PAS Sabah mendesak agar siasatan ini diambil alih Bukit Aman agar lebih telus dan bagi mengelakkan pihak polis Sabah campurtangan kerana melibatkan banyak pihak.

PAS juga menggesa Polis Sabah agar menjalankan siasatan dan mendakwa PATI yang mencederakan AJK Surau Al Gayah Nur Salam di Kampung Lamak Bukit, Silam, Haji Wahab Nonong dan dua orang anaknya; serta menggesa Polis Lahad Datu menghenti ugutan ke atas mangsa untuk diambil tindakan di bawah Akta Hasutan kerana terlibat memberi kenyataan di dalam Videoklip ‘Tuhan UMNO Hanya Dapat Surau PPRT’. - HAJI HAMZAH ABDULLAH/Sabakini