Kenyataan Muhyiddin agak menjengkilkan...

Sunday, November 6, 2011


Saudara Pengarang,

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sekiranya pembangkang memerintah negara, mereka akan memberhentikan banyak kakitangan kerajaan, adalah kenyataan yang kurang berhemah dan menjengkelkan.

Muhyiddin menegaskan bahawa penjawat awam yang ada sekarang berjumlah satu juta orang dan diperlukan bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan berjalan dengan baik dan licin demi kemajuan negara.

Bagi saya, memang tidak dinafikan kita memerlukan kaki tangan kerajaan yang mencukupi tetapi jangan ‘Over Flow’ seperti yang berlaku sekarang dan hanya membazirkan wang rakyat untuk membayar gaji kepada mereka.

Sering kali saya berurusan di pejabat kerajaan, saya lihat banyak kaunter yang tidak di buka tapi orang yang beratur ramai! Sepatutnya jika ramai kakitangan kerajaan, semua urusan akan menjadi lebih efektif.

Saya pernah terbaca di media, bahawa di Amerika dan Jepun, rakyat mereka ramai tetapi kakitangan kerajaan tidak lebih daripada 400,000 orang, namun kerja mereka lancar dan efektif.

Tahukah anda, kerajaan terpaksa membelanjakan RM1.5 bilion sebulan jika gaji minimum kakitangan awam RM1,500 seorang. Tetapi majoriti gaji kakitangan terutama yang berpangkat di antara RM3,000 hingga RM10,000 sebulan, tidak termasuk segala kemudahan asas, bayangkanlah betapa besarnya belanja untuk memelihara kakitangan kerajaan dengan memerah keringat orang miskin seperti saya? - HULAHOOP999/s/kini