"Kau silap orang kalau nak ragut" kata gadis 19 tahun

Wednesday, October 17, 2012

Seorang remaja perempuan 19 tahun berkata “Kau silap orang lah kalau nak ragut,” kata nya yang berang selepas berjaya menangkap seorang lelaki yang meragut begnya di Telok Emas, di sini, malam kelmarin.

 

Peragut yang salah sasaran bukan sahaja tidak dapat menikmati RM2 hasil aktiviti jenayahnya, malah lebih malang dia turut ‘diganyang’ mangsa berusia 19 tahun. Mangsa nekad mengejar lelaki terbabit selepas mengejarnya sejauh kira-kira dua kilometer dengan menunggang motosikalnya.

 

Sinar Harian difahamkan, penduduk kampung berhampiran turut membantu mangsa menghalang suspek berumur 21 tahun itu melarikan diri sebelum menghubungi pihak polis. Sementara itu, mangsa ketika ditemui berkata, dia yang mengesyaki sesuatu terus menghafal nombor pendaftaran motosikal suspek sebaik sahaja suspek menutup lampu hadapan motosikalnya ketika di persimpangan lampu isyarat Kandang/Alai.

 

“Saya meneruskan perjalanan dan tidak sedar bila dia menghampiri kerana laluan di situ gelap. Tiba-tiba dia ragut beg saya hingga menyebabkan telefon bimbit saya dalam jaket yang pakai turut terjatuh. “Tanpa berfikir panjang, apatah lagi keselamatan diri, saya terus kejar lelaki terbabit yang melarikan beg saya memasuki simpang ke Taman Seri Emas,” katanya.

 

Menurut anak sulung daripada tiga beradik ini, suspek jatuh terpelanting dari motosikal selepas cuba menendang motosikalnya. “Dia cuba tendang motosikal saya tetapi saya dapat elak, malah saya sempat baling air minuman yang saya bawa balik dari tempat kerja. Selepas itu dia jatuh di sebelah longkang.

 

“Mula-mula saya ingat dia sudah mati sebab dia langsung tak bergerak tetapi seorang pakcik memeriksanya berkata dia masih hidup. Saya tidak dapat kawal diri lalu memukulnya.

 

Menurutnya, dia yang masih trauma bagaimanapun menguatkan semangat untuk ke tempat kerja keesokan hari apabila disuruh ibunya dan menasihatkan supaya wanita lain berhati-hati serta tidak cuai sepertinya. “Jangan letak beg dalam raga motosikal kerana memudahkan peragut mencapainya," katanya.

 

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kandang, sementara suspek yang cedera seluruh anggota badan dihantar ke Hospital Melaka. - SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN s/h