Dr Juanda Mufti Perlis letak jawatan

Friday, November 16, 2012

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya telah meletakkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis, berkuat kuasa Jumaat lalu kerana tidak gembira dengan pengurusan dan pentadbiran agensi tersebut.

 

Difahamkan surat peletakan jawatan telah dihantar kepada pengurusan tetapi tidak pasti sama ada keputusan itu atau diterima atau tidak. Juanda selaku Mufti Perlis dilantik menduduki jawatankuasa secara automatik dan bertindak sebagai ‘penasihat’ agensi tersebut.

 

“Beliau tidak gembira dengan cara pengurusan, ada perkara yang beliau tidak berpuas hati. “Selepas teguran dan nasihat tidak diterima, beliau dikatakan mengambil keputusan untuk berhenti daripada ahli jawatankuasa dan penasihat,” kata sumber kepada Sinar Harian.

 

Sementara itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Perlis dalam satu kenyataan mendakwa telah mendapat berita dari. Sumber yang dipercayai bahawa Juanda Jaya telah meletakkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa MAIPS.

 

“SAMM Perlis juga difahamkan peletakan jawatan Dr Juanda dalam agensi pengurusan zakat negeri adalah ekoran daripada sikap pemimpin negeri yang didakwa membelanjakan wang zakat tanpa mengikut prosedur sebenar dan mengarut antaranya ialah pergi melancong tanpa terlebih dahulu dibawa berbincang dalam mesyuarat MAIPS,” kata Penyelaras SAMM Perlis, Asrul Nizam Abd Jalil.

 

Selain itu, dakwanya, perbelanjaan wang zakat MAIPS Perlis juga tidak meletakkan keutamaan yang saksama kepada pecahan - asnaf dan dalam banyak keadaan ia nampak lebih menjurus kepada agensi perniagaan berbanding kebajikan.