"Anwar makan ais krim bersama Shamsidar,” katanya.

Tuesday, April 24, 2012


Datuk S. Nallakaruppan hari ini tampil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyerahkan bahan bukti berhubung salah laku moral yang didakwa dilakukan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada peguamnya, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.


Bahan bukti tersebut diserahkan di perkarangan lobi Mahkamah Tinggi dengan disaksikan beberapa orang pengikut setia yang hadir menyokong tindakannya.


Bahan bukti yang disampaikan oleh Nallakaruppan itu adalah berbentuk rakaman video.


“Ini (pita rakaman) saya serahkan kepada peguam, Shafee akan bawa ke mahkamah. Semua bukti ada dalam pita ini. Saya berikan tanggungjawab ini kepada saudara Shafee untuk menjaga dan menyimpan bukti ini dengan baik,” kata Nallakaruppan di sini hari ini.


Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan bahan-bahan yang terkandung dalam pita video rakaman tersebut dan segalanya akan terungkai dalam perbicaraan nanti.


Dalam sidang media itu juga, Nallakaruppan sekali lagi mendesak Anwar untuk mempercepatkan tindakan saman yang dibuat oleh Penasihat PKR itu.


“Saya sedang menunggu ketibaan Anwar di mahkamah nanti dan saya mahu Anwar percepatkan perbicaraan kes saman beliau terhadap saya. Jangan gantung kes ini tak bertali. Saya cabar Anwar saman saya RM500 juta. Saya juga cabar Anwar membuat kenyataan terbuka mengatakan saya seorang pembohong.


“Saya tidak sabar mahu menceritakan di mahkamah berkenaan hubungan sulit Anwar dengan Shamsidar Taharin. Saya ingin menceritakan bagaimana Anwar makan ais krim bersama Shamsidar,” katanya.


Nallakaruppan juga menegaskan tidak akan sekali-kali gentar dengan tindakannya membongkar sikap Anwar walaupun sudah diugut sebanyak dua kali pada bulan lepas termasuklah kereta sahabatnya, U. Thanothaaran telah dipecahkan oleh tiga orang samseng pada 5 April lalu di Sri Gombak.


Nallakaruppan menerima notis saman sebanyak RM100 juta daripada Anwar sebulan yang lalu selepas beliau mendedahkan pemimpin PKR itu sebagai seorang biseksual.




Nallakaruppan juga tidak akan berganjak dari kenyataannya Anwar sebagai biseksual dan menegaskan Anwar tidak layak untuk menjadi pemimpin negara. - s/kini(mynewshub.my)