Dewan Negara 'lokasi' menteri2 yg kalah - ceramah Aziz Bari

Saturday, January 7, 2012

Pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari menekankan keperluan membaiki sistem Dewan Negara yang didakwa menjadi ‘Pintu Belakang’ kepada menteri yang kalah.


Tegasnya, Dewan Negara tidak akan berjalan dengan baik sekiranya amalan sama terus berlaku.


Berucap dalam ceramah jelajah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya malam tadi, Dr Abdul Aziz membangkitkan isu wang zakat digunakan untuk membayar kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharum dan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dikaitkan dengan isu projek lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan baru baru ini.


"Bukan salah lantik menteri kalah jadi anggota Dewan Negara. Tetapi janganlah ramai sangat. Ini yang ada dalam Dewan Negara sekarang ini," sindir bekas pensyarah undang-undang kanan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.


Sementara itu, Anwar pula dalam ucapannya berkata bukti berbentuk dokumen bagi membuktikan dakwaan berlakunya penyalahgunaan wang zakat Jamil Khir akan didedahkan pada masa terdekat.


"Bukti pembayaran pun ada. Kita ada keluarkan dalam masa sehari dua lagi," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Jamil Khir pada 31 Disember dilaporkan menafikan berlaku penyelewengan wang zakat bagi pembayaran kos guamannya dalam kes tuntutan qazaf Anwar.


Sebaliknya, menteri itu mendakwa, wang yang digunakan bukan daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas kerajaan untuk pembayaran kos guaman.


Manakala semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr Muhammad Yamin Ismail pula berkata jika sekalipun wang zakat digunakan untuk pembayaran kos guaman, ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak.


Dr Muhammad Yamin berkata, ia berdasarkan keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan bil 2/2009 yang dipengerusikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan pada 3 September 2009 yang memperakukan Anggaran Belanjawan MAIWP 2010 termasuk penggunaan wang zakat bagi maksud bayaran khidmat guaman.


Sementara itu, Anwar menegaskan bahawa undang-undang harus dilaksanakan secara adil tanpa memilih bulu.


"Islam tidak membezakan antara miskin dan kaya. Islam tidak membezakan kelas. Ini tidak, orang kaya terlepas, orang miskin dihukum," katanya.


Sambil membacakan laporan akhbar berhubung kes amil di Johor memulangkan wang zakat sebanyak RM19,510 dan dihukum penjara empat tahun dan tiga sebatan, Anwar mendakwa, wujud dua undang-undang di negara ini.


"Saya tak terima ini! Ini salah," katanya sambil menghempas akhbar itu ke atas rostrum menyebabkan orang ramai bersorak.


Turut berucap pada malam tadi Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan aktivis Hishamuddin Rais.- JIMADIE SHAH OTHMAN