Penulis Blog Diingat Supaya Ikut Garis Panduan, Kata Jeff Ooi

Friday, October 24, 2008

Pengendali laman blog diingatkan supaya mengikut garis panduan yang ditetapkan ketika menulis sesuatu artikel dan bukannya menulis sesuka hati.

Anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi Chuan Aun, yang juga pengendali laman blog, berkata penulis blog perlu mengambil iktibar daripada apa yang terjadi ke atas editor Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin, yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana artikelnya.

"Penulis blog terutama yang baru harus berhati-hati untuk menulis sesutu cerita dalam blog mereka kerana internet tidak memberi kebebasan mutlak untuk menyuarakan dan mengutarakan pendapat," katanya ketika ditemui Bernama pada forum anjuran Majlis Peguam.

"Lebih-lebih lagi di Malaysia di mana masyarakatnya yang berbilang budaya, kaum dan agama, internet adalah tanpa batasan, tiada sempadan di mana ia akan dibaca berbagai pihak," katanya.

Katanya jika mereka tersilap menulis mereka pasti akan menimbulkan salah faham dan oleh itu perkara itu mestilah dielakkan.

Beliau berkata untuk mengelakkan daripada hal ini terjadi, penulis blog haruslah mengetahui undang-undang yang terdapat di Malaysia seperti Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA