Dalam apa yang penulis anggap sebagai cubaan untuk menyediakan dan mengekalkan semangat penyokong Pakatan Rakyat dalam berhadapan kemungkinan Datuk Seri Anwar dipenjarakan semula atas kesalahan meliwat Saiful Bukhari, beberapa blog dan portal berita yang diketahui pro Pakatan Rakyat telah...
memberikan gambaran bahawa Anwar adalah seperti mana pemimpin biasa yang boleh dikorbankan tapi tidak kepada parti yang dipimpinnya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) khasnya dan Pakatan Rakyat amnya.
Penulis ingin bertanya semula, benarkah begitu ceritanya?
Mungkin bagi parti-parti politik lain seumpamanya di Malaysia, ungkapan sedemikian adalah terpakai, tapi tidak sama halnya dengan PKR, malah penulis menganggap orang yang bersangkaan sedemikian tidak faham dengan landskap politik yang membentuk PKR dari awal penubuhannya sehingga hari ini.
PKR dan Anwar Ibrahim adalah satu. PKR ditubuhkan semata-mata untuk menyediakan platform politik dalam memastikan keadilan yang sewajarnya ditegakkan ke atas Anwar Ibrahim berhubung kes perbicaraan liwatnya yang pertama pada 1998. Keperluan itu wujud kerana pada waktu itu, PAS dan DAP masih terikat dengan prinsip asas perjuangan masing-masing dan tidak ada ruang yang cukup untuk memastikan keadilan kepada Anwar dapat ditegakkan.
Jika Anwar ‘ke dalam’ kali ini, PKR mungkin boleh bertahan tapi penulis risau kalau Pakatan Rakyat akan tinggal nama sahaja nanti. Penulis berkata demikian kerana, selain menjadi pengasas bersama Pakatan Rakyat, Anwar juga adalah satu-satunya pemimpin yang berjaya mengelakkan beberapa isu besar seperti hudud dan PPSMI, memusnahkan Pakatan Rakyat dari dalam lantaran perbezaan pendapat yang ketara antara PAS dan DAP.
Dalam keadaan Pakatan Rakyat ingin menguasai Putrajaya atau paling tidak mengekalkan kuasa di 4 buah negeri yang dikuasai sekarang, kehadiran Anwar adalah sangat penting. Walaupun Anwar telah berikrar akan terus menguatkan Pakatan Rakyat walaupun ditahan dipenjara, keadaan itu masih tidak sama jika beliau berada diluar.
Bila bercakap tentang Anwar, kita tidak boleh menolak faktor ‘sentuhan peribadi’ yang menjadi kekuatan kepada nya. Setiap kali Pakatan Rakyat menghadapi pergolakan dalaman, Anwar akan ada disitu untuk menjernihkan keadaan, peranan Anwar ini sangat penting dalam memastikan keutuhan Pakatan Rakyat sebagai sebuah komponen politik alternatif kepada Barisan Nasional (BN).
Penulis tidak dapat melihat bagaimana Anwar boleh memainkan peranan tersebut disebalik tembok penjara.
Tambahan pula bila tidak ada pemimpin lain yang mempunyai karisma dan aura yang sama seperti Anwar di dalam PKR dan Pakatan Rakyat. Nurul Izzah mungkin calon yang sesuai tapi penulis melihat perjalanan beliau masih panjang lagi untuk menjadi seperti bapa nya.
Melihat kepada kemungkinan-kemungkinan itu, ada sebab kenapa laman ini begitu kritikal terhadap Ketua pasukan pembelaan Anwar, Karpal Singh yang dilihat gagal memastikan Anwar mendapat pembelaan yang sepatutnya.
Dari kenyataan-kenyataan yang diberikan Anwar sebaik perbicaraan ditangguhkan pada 15hb Disember, jelas kelihatan beliau tidak yakin dengan keupayaan pasukan pembelaannya dan dapat merasakan beliau akan kembali semula ke penjara.
Selain dari kejayaan menangguhkan kes untuk satu tempoh yang panjang, Karpal gagal sama sekali menyanggah fakta-fakta saintifik yang dikemukakan pihak pendakwa selain pemilihan saksi yang tidak relevan dengan kes.
Tambah mengejutkan Karpal juga menafikan kewujudan teori konpsirasi dalam menyokong permohonan pasukan pembelaan untuk mensapina Perdana Menteri dan isteri bagi memberi keterangan di mahkamah.
Sama ada sedar atau tidak, Karpal telah merosakkan kes Anwar sehingga beliau berhadapan kemungkinan untuk dipenjarakan sekali lagi.
Penulis tidak nampak ada sebab lain disebalik pelbagai kesilapan yang dilakukan Karpal Singh dalam membela Anwar melainkan alasan kepentingan politik DAP. Mungkin DAP mengintai peluang untuk mengambil alih peranan PKR sebagai parti dominan dalam Pakatan Rakyat tapi kerana Anwar masih disitu, tugas itu agak sukar malah mustahil dilakukan.
Kejayaan demi kejayaan yang dicapai DAP kebelakangan ini dan keyakinan telah menguasai sepenuhnya kawasan-kawasan bandar seperti dilihat dalam Piilihanraya Negeri Sarawak yang lepas menjadikan DAP bongkak dan tidak lagi melihat kepentingan Anwar.
Tapi harapnya Karpal jangan lupa, segala kejayaan DAP terutama selepas Pilihanraya Umum 2008 adalah disumbangkan oleh Anwar. Jika bukan kerana kejayaan Anwar mengubah persepsi orang Melayu terhadap DAP, jangan harap DAP boleh berada dikedudukkan sekarang. Ketiadaan Anwar hanya akan menjejaskan DAP terutama di Pulau Pinang dimana DAP menguasai kerajaannya.
Kesimpulannya, adalah penting untuk Anwar kekal berada di luar membantu kempen Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum yang akan datang. Jika Karpal gagal atau sengaja untuk menggagalkan kes Anwar, kita masih ada Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang siap sedia mempertahankan Anwar sehingga ke akhirnya melalui gerakan 901 yang telah dimulakan.
Yang penting, jangan berputus asa dan berhenti dari mengharap!.
- sabahkini
Lepas bertengkar, berpaut depan cermin lori
2 days ago