Duta Turki ke Malaysia, Barlas Ozener hari ini dipanggil ke Wisma Putra di sini dipercayai ada kaitan dengan bantahan kerajaan terhadap campur tangan negara itu terhadap masalah dalaman Malaysia.
Ozener yang tiba di Wisma Putra pada pukul 1.49 petang ini dengan kereta jenis Mercedez Benz nombor plat 51-01-dc dilihat memasuki pejabat Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Semalam, Rais melarang kedutaan asing di negara ini `menyimpan' dan melindungi individu yang didakwa melakukan kesalahan jenayah dengan alasan tuntutan suaka politik.
Menurutnya, situasi itu jelas tidak membenarkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menuntut suaka politik daripada kedutaan Turki seperti yang dilakukan sekarang.
Anwar berbuat demikian setelah satu laporan polis dibuat di Balai Polis Travers di ibu negara yang oleh seorang lelaki berumur 23 tahun yang mendakwa diliwat oleh pemimpin politik itu pada 26 Jun lalu.
Rais dijadual memanggil sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Putra pada pukul 3 petang ini bagi menjelaskan butiran kedatangan Duta Turki tersebut.
- Utusan