MUFTI Perlis, Dato' Dr Mohd Asri Zainal Abidin disaran agar memasuki parti politik jika beliau benar-benar ingin melaksanakan usaha menyeru kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata individu yang ingin melaksanakan Islam hendaklah memiliki kuasa yakni kerajaan sebagai platform bagi memastikan Islam itu diterjemahkan ke dalam kehidupan.
"Jika kita mahu melihat Islam berdaulat, maka hendaklah memiliki kerajaan yakni ianya melibatkan parti.
"Sekarang kita lihat, demokrasi ada kerajaan, sosialis ada kerajaan, mana boleh Islam tiada kerajaan, kenapa tidak mahu terlibat dengan parti? Ujarnya dalam sidang Media selepas merasmikan Pusat Gadaian Islam Ar-Rahn di cawangan Jalan Raja Laut Kuala Lumpur.
Jelasnya, sekiranya mana-mana pihak hendak menganjurkan sesuatu tetapi tidak memiliki sebarang kuasa, ianya tidak berguna atau tidak berkesan seumpama omongan kosong.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohd Asri yang tidak mahu memasuki mana-mana parti semalam.
"Harapnya Mufti Perlis dapat mempertimbangkan untuk memasuki mana-mana parti,walaupun pegawai kerajaan di Malaysia ini tidak dibenarkan untuk melibatkan diri dengan mana-mana parti.
"Tetapi pembangkang sahaja yang tidak dibenarkan, pegawai kerajaan saya lihat boleh terlibat," katanya.
Malah tegas Menteri Besar Kelantan itu, para pelajar tidak dibenarkan terlibat dengan politik tetapi di luar negara ditubuhkan Kelab Umno di kalangan pelajar.
Dalam pada itu, beliau berkata jika demokrasi dijaga dengan betul tiada sebab Umno boleh menang dalam pilihan raya di Sanglang.
"Kalau Umno menggunakan demokrasi yang betul, sudah lama Umno tumbang.
"Bukan kita tidak tahu cara Umno yang menggunakan duit, ISA, tetapi kesemuanya perkara yang tidak betul ini akan diketahui orang tahu juga nanti,"
Ustaz Nik Aziz juga mengalu-alukan tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) yang berhasrat untuk meninggalkan BN.
"Kami pembangkang, tindakan mereka (mengemukakan undi tidak percaya) menjadikan mereka semi pembangkang.
"Yang penting, mereka menjadi pembangkang," demikian ujarnya.
Pusat Gadaian Ar Rahnu Jalan Raja Laut merupakan cawangan ke-12 yang dikendalikan oleh Perbadanan Kelantan Berhad yakni anak syarikat kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan.
Setakat ini ianya menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat kerana menggunakan konsep pinjaman dan gadaian tanpa riba.
Turut berucap dalam majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Haji Wan Yahya Wan Salleh.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Ustaz Nasuruddin Daud; anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa; Wan Ubaidah Wan Omar; ahli Parlimen Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah serta ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof.