Kerajaan tak dipandang serius, gereja pula datang membantu

Friday, May 21, 2010



Selepas bercerai dengan suaminya tanpa pemberian sesen nafkah, seorang ibu tunggal di sini mendakwa terpaksa bergantung hidup dengan pemberian sumbangan pihak gereja bagi meneruskan kehidupan bersama tiga anaknya.


Segalanya dikatakan bermula apabila permohonan bantuan kepada agensi kerajaan tidak dipandang serius sehingga menyebabkannya buntu memikirkan kepada siapa harus mohon simpati.

Ibu tunggal berusia lingkungan 30-an yang enggan identitinya disiarkan dan hanya mahu dikenali sebagai Nur berkata, dia sebelum ini pernah melakukan pelbagai kerja bagi mencari sesuap nasi untuk anaknya, namun jumlah pendapatan diperoleh masih tidak mencukupi menampung keperluan hidup.

Bermula dengan episod kesedihan itu Nur berkata, akibat kesempitan hidup, dia yang tidak mahu melihat anaknya berlapar terus menerima pelawaan majikan tempatnya bekerja untuk ke sebuah gereja yang kononnya menjanjikan pemberian bantuan wang.

“Saya masih ingat, pertama kali berkunjung ke sebuah gereja di Cheras selama 5 jam berkunjung pada jam 5 pagi dan berada di sana sehingga jam 10 pagi.

“Ketika itu, pihak berkenaan memberikan saya sumbangan RM300 dan makanan keperluan asas seperti beras, minyak dan sabagainya,” katanya. Nur berkata, ketika dia dihantui masalah kewangan dan terpaksa berpindah keluar dari rumah yang diduduki sebelum ini, pihak gereja itu juga memberikannya wang bantuan deposit sewa rumah untuk membayar duit muka rumah baru kira-kira RM2,000.

“Wang itu cukup untuk saya membayar sewa rumah selama beberapa bulan sementara saya masih tidak mempunyai kewangan yang mencukupi. “Selepas itu, wakil gereja berkenaan akan datang ke rumah saya dua kali seminggu dan memberi lagi sumbangan bergantung kepada keperluan ketika itu,” katanya. Kata Nur, dia terpaksa menerima bantuan itu kerana sudah letih dengan birokrasi agensi berkenaan yang berdolak-dalik untuk memberikan bantuan kepadanya.

“Hanya baru-baru ini sahaja, agensi itu meluluskan permohonan bantuan yang dipohon, namun sehingga kini belum menerimanya. “Pendapatan saya hanya RM600 sebulan dan jumlah itu jelas tidak mencukupi membayar sewa rumah, perbelanjaan sekolah anak dan keperluan lain,” katanya ketika menceritakan kepayahan hidup kepada Skuad Sinar Kasih Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang berkunjung ke rumahnya.

Dia berkata, tidak mahu menanggung risiko meninggalkan anaknya di rumah bersendirian tanpa pengawasan apabila terpaksa bekerja seawal jam 8 pagi dan pulang ke rumah pada jam 1 pagi. “Dahulu, kerana jumlah pendapatan yang tidak cukup, saya terpaksa melakukan kerja sampingan pada waktu malam.

“Ketika itu, anak yang masih kecil terpaksa ditinggalkan meskipun bimbang risikonya,” katanya. Katanya, dia yang mempunyai sijil kursus sebelum ini berhasrat menjalankan perniagaan sendiri, namun tidak mempunyai modal yang cukup. - s/harian