Nikah sulit: Apa yang menyulitkan?

Wednesday, June 2, 2010


Saya merujuk kepada laporan berkaitan pernikahan sulit (BM, 23 Mei). Mengapa nikah dikaitkan dengan perkataan sulit? Siapa yang menyulitkan dan bagaimana ibadah ini menjadi sulit?

ini satu ibadah juga jika diselewengkan tujuan asal banyak kesulitannya.

Kita perlu berfikir secara adil termasuk mengapa ia berlaku sebelum membuat kesimpulan atau menyalahkan sesetengah pihak. Selalunya pihak suami yang dipersalahkan atau dituduh melakukan tindakan yang menjadikan isteri mereka sebagai mangsa.

Pada pendapat saya, ada beberapa faktor yang mendorong si suami melakukannya, yakni bernikah secara rahsia, walaupun mereka tahu akibat dan kesengsaraannya.

Pertama, berlaku keterlanjuran antara suami dengan wanita bukan mahram dan tidak mudah baginya melepaskan diri daripada wanita itu. Lelaki itu lalu ditakut-takutkan wanita itu jika tidak menikahinya walaupun wanita itu tahu lelaki itu suami orang.

Kedua, ada suami yang berterus-terang kepada isteri tentang hasratnya bernikah lagi dan mampu menanggung isteri/keluarga kedua, namun ditentang isteri pertama.

Ketiga, kemesraan suami isteri tidak sehangat dahulu, yakni pada awal pernikahan, dan suami mengalihkan perhatiannya kepada wanita lain dan akhirnya jalinan asmara.

Islam agama yang indah dan memberi jalan yang luas mengatasi setiap permasalahan, tetapi kebanyakan wanita Muslim begitu benci apabila mendengar perkataan poligami. Ada isteri yang tidak kisah jika suaminya tidak menjalankan ibadah wajib tetapi menjadi kecoh apabila suaminya mahu berpoligami.

Memang poligami dibenci ramai wanita namun adakalanya ia adalah jalan lebih baik dan membawa kedamaian jika berjaya dilaksanakan. Usah hanya melihat kepada fakta fakta keburukan poligami. Jika ini berlaku, trend pernikahan sulit akan tiada penghujungnya.

Raja Masri Raja Ashari