Anwar pelakon yang hebat seperti Tan Sri P. Ramlee

Wednesday, August 20, 2008


BUKIT MERTAJAM, 20 Ogos Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) Datuk S. Nallakarupan menasihati pengundi di kawasan Parlimen Permatang Pauh agar tidak mudah terpengaruh dengan lakonan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kempen pilihan raya kecil Selasa ini.

Beliau berkata penduduk Permatang Pauh perlu membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuat sebarang keputusan dan jangan terlalu mudah percaya dengan apa yang dituturkan Anwar.

"Anwar seorang pelakon yang hebat seperti Tan Sri P. Ramlee," katanya berucap ketika melawat jentera pilihan raya MUIP bersama calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah di sini, Rabu.

Nallakaruppan berkata beliau memberi jaminan semua anggota parti itu akan memberi sokongan padu kepada Arif Shah pada pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Beliau yang telah mengenali Anwar selama 30 tahun, juga menasihati bekas anggota jawatankuasa pusat Gerakan Datuk Dr Toh Kin Woon supaya berfikir semasak-masaknya sebelum menerima pelawaan Anwar menyertai PKR sebagai penasihat parti itu.

Anwar pagi tadi menawarkan Toh menjadi penasihat PKR berhubung tadbir urus tetapi Toh dilaporkan berkata beliau memerlukan masa untuk mempertimbangkan tawaran itu.

-- BERNAMA