Kerajaan Pakatan, jangan pinggir peranan Islam - Pemuda Pas

Thursday, August 14, 2008

Dewan Pemuda PAS menegaskan bahawa ia akan bertindak terhadap mana-mana kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang didapati mengambil mudah tentang peranan Islam dalam pentadbirannya.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata pergerakan itu mahu pimpinan di negeri-negeri terbabit iaitu Kelantan, Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang supaya memperjuangkan hak, nilai dan prinsip Islam yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri masing-masing.

"Kita (Dewan Pemuda) akan menjalankan tugas-tugas kepemudaan untuk melakukan check and balance terhadap kerajaan ke arah urus tadbir baik.

"Kita bersedia untuk menegur secara diplomatik dan kita juga sanggup untuk mengambil pendekatan konfran jika teguran-teguran itu tidak dilayan," katanya dalam ucapan dasar
Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Ke-49 di Stadium Indera Mulia di sini malam ini.

Beliau memuji Dewan Pemuda PAS Selangor yang disifatkan berani menegur beberapa kepincangan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam beberapa perkara melibatkan soal hukum agama mahupun pentadbiran.

Salahuddin yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian berkata, sebagai sebuah parti yang telah berpengalaman memerintah dua buah negeri semenjak 1990, PAS bersedia berkongsi pengalaman pentadbirannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), serta DAP.

Menurutnya PAS menghormati dasar dan tujuan perjuangan partiparti dalam Pakatan
Rakyat itu, namun pada masa yang sama mereka juga perlu menghormati PAS dan mewujudkan budaya 'mutual respect' (saling menghormati).

Katanya, kepimpinan Pemuda Pakatan Rakyat juga perlu memainkan peranan penting dalam menganjakkan paradigma pemikiran rakyat untuk memahami dasar perjuangan masingmasing dan mencipta satu era baru yang lebih kondusif.

Beliau berkata, kejayaan memenangi lima negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini juga memerlukan para anggota parti dalam Pakatan Rakyat beranjak dari berfikiran seperti pembangkang kepada berfikiran sebagai negarawan yang melaksanakan yang diamanahkan oleh Allah.

Ini kerana, katanya PAS bersama Pakatan Rakyat adalah kerajaan alternatif kepada
BN dan bukannya pembangkang pinggiran seperti dahulu lagi.

Sehubungan itu katanya, mereka perlu memperlihatkan kepada rakyat tentang kewibawaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban pakatan parti itu sebagai kerajaan.

"Ahli-ahli PAS tidak boleh memencilkan diri kerana mereka adalah pembuat undang-undang (legislature) yang sah, maka peranan yang lebih besar perlu dimainkan untuk memastikan setiap undangundang memberi kesan positif kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, wakil-wakil rakyat PAS di Parlimen juga perlu aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan, media massa dan juga pentadbir awam kerana mereka adalah penghubung antara PAS dengan rakyat.

Salahudin berkata, beliau mengetengahkan perkara itu kerana tidak mahu pemimpin parti itu dianggap sebagai 'partisan politics' yang membawa implikasi negatif terhadap potensi parti itu.

Beliau berkata, pergerakan itu mengalu-alukan apa sahaja bentuk akomodasi dengan manamana pihak untuk kebaikan agama, bangsa dan negara.

Namun katanya, Pemuda PAS sekali-kali tidak akan bertolak ansur jika politik akomodatif itu bertujuan mewujudkan kerjasama politik atau perkongsian kuasa antara PAS dengan Umno atau Barisan Nasional.- BERNAMA