'Dayus' jika Majlis Peguam terlepas

Thursday, August 14, 2008


Kerajaan dayus jika tidak menggunakan Akta Hasutan terhadap penganjur forum "Memeluk Islam" minggu lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya tidak rasa (wajar menggunakan) ISA. Lebih sesuai di bawah Akta Hasutan," katanya kepada media sebagai mengulas desakan agar pemimpin Majlis Peguam dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau Akta Hasutan.

"Kita jangan dayus (untuk) menggunakan Akta Hasutan. Ini sudah dua kali dah (Majlis Peguam berbuat demikian)."

Dalam ucapan sewaktu merasmikan program Himpunan Pelajar Melayu Merdeka di Shah Alam pagi ini, Dr Ahmad Zahid juga menyifatkan badan profesional guaman itu sebagai "kurang ajar" kerana menganjurkan forum yang mencabar isu Melayu.

Beberapa pihak termasuk Umno, PAS dan Persatuan Peguam Muslim mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap Majlis Peguam dengan alasan forum tersebut telah mencetuskan kekecohan.

Selain mendesak kerajaan mengambil tindakan menggunakan ISA, sesetengah pemimpin termasuk Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dilaporkan mencadangkan penggunaan Akta Hasutan.

Selain mengulas forum kontroversi berhubung Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, Dr Ahmad Zahid juga mengecam cadangan Menteri Besar Selangor yang dianggapnya boleh membangkitkan kemarahan orang Melayu.

"Jangan biarkan orang Melayu mengamuk," katanya.

Ahad lalu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyarankan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) agar menerima kemasukan 10 peratus pelajar bukan Bumiputera untuk meningkatkan lagi kemajuan institusi pengajian tinggi itu.

Turut hadir di majlis anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu ialah Naib Canselor UiTM Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah dan presiden gabungan itu Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Program itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan GPMS.
- M'siakini