Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan mengapa beliau seorang sahaja yang didakwa di mahkamah jika beliau dikatakan melakukan hubungan seks di luar tabii dengan bekas pembantunya secara suka sama suka.
"Jika suka sama suka, kenapa hanya saya yang dipanggil (dakwa)? Sepatutnya dakwa kedua-dualah," katanya kepada pemberita sambil berkata, ia adalah satu pendakwaan politik.
"(Pertuduhan) ini fitnah khianat."
Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, No 99, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Anwar dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Beliau juga terus mengecam perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana meneruskan dakwaan liwat terhadapnya.
"Yang saya kesalkan hanyalah pendakwaan diteruskan walaupun saya yakin berdasarkan cara pendakwaan itu, pendakwa pun nampaknya dipaksa juga oleh tokoh-tokoh politik.
"Kalau tidak, mustahil pendakwaan itu dibuat," katanya selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11.10 pagi.
Beliau juga berkata, semalam Abdullah berkata kes beliau sebagai "rogol" dan menyifatkan kenyataan itu "yang paling biadap."
Anwar menyifatkannya sebagai satu politik kotor oleh seseorang yang akan kehilangan kuasanya.
Ketua umum PKR itu juga berkata beliau kini akan menumpukan perhatiannya kepada kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh.
Hakim SM Komathy menetapkan kes itu disebut Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 September untuk memutuskan tarikh perbicaraannya.
- Jimadie Shah Othman
Siapa cakap gaji aku RM1 juta? – Jojo Ghazali
21 hours ago