Ini bukan perangai seperti manusia - Nik Aziz

Sunday, November 28, 2010


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan mereka yang membuat tuduhan mendakwa Kerajaan Negeri Kedah gagal membantu mangsa banjir sebagai individu yang tidak berperangai sebagai manusia.

Beliau yang berang dengan tuduhan itu berkata, sepatutnya Kerajaan Pusat mengambil tindakan membantu Kerajaan Negeri dalam menguruskan dan membantu mangsa banjir yang mengalami beban dengan keadaan semasa.

“Pelbagai agensi turun termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan mengadakan pelbagai bantuan tetapi ada dari pihak Kuala Lumpur yang kata (Kerajaan Negeri) lepas tangan, ini kempen jahat hasil orang tiada modal.

“Sepatutnya mereka simpati kepada Kerajaan Negeri dan rakyat, bagi bantuan, arah polis dan bomba. Ini tidak, tiba-tiba orang yang sudah kena bala dilanyak pula, ini bukan perangai manusia,” katanya ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kecaman dari Kerajaan Persekutuan yang mendakwa kerajaan Kedah telah gagal membantu mangsa banjir yang dialami di negeri itu baru-baru ini.

Semasa persidangan DUN Kedah, Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah dukacita dengan pihak-pihak yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan Kerajaan Negeri membantu mangsa banjir besar tersebut.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta rakyat mengucapkan tahniah kepada Sultan Kedah yang peka terhadap isu tersebut dan bertitah seperti mana yang diketahui umum. - sinarharian